SATU sikap yang merosakkan persaudaraan dan perpaduan umat Islam ialah  ‘suka membawa mulut’, mereka-reka serta menambah cerita buruk, malah  melaga-lagakan orang se hingga kisah yang pendek menjadi panjang.
Ia  juga disebut menabur fitnah atau ‘namimah’ iaitu men ceritakan  keburukan orang di khalayak ramai dengan tujuan menimbulkan kebencian  dan permusuhan terhadapnya.
Kesan daripada perbuatan itu  bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan hilangnya perasaan  kasih sayang, hormat dan kepercayaan di kalangan masyarakat, sehingga  runtuh segala sendi kebahagiaan hidup berma syarakat.
Sikap  seperti itu sangat tercela. Ia satu daripada perbuatan dosa besar yang  akan mendapat ancaman seksa amat berat di hari pembalasan kelak.
Antara  faktor yang menimbulkan fitnah ialah dorongan perasaan iri hati atau  dengki terhadap orang lain, ditambah kekurangan iman dan tiada kefahaman  mengenai larangan dan kemurkaan Allah, malah hati dan jiwa seseorang  yang kotor, lemah tahap pemikirannya dan sukar menerima kebenaran.
“Adapun  orang yang berpenyakit dalam hati mereka, maka surah itu menambahkan  kekotoran pada kekotoran yang sedia ada pada mereka; dan mereka mati,  sedang mereka berkeadaan kafir.” (at-Taubah:125)
Faktor lain yang  mendesak seseorang melakukan fitnah kepada saudaranya ialah kerana  ingin mendapatkan kuasa, pengaruh serta kepercayaan orang terhadap diri  dan dak waannya, malah ingin menunjukkan dirinya seorang yang lebih baik  daripada saudaranya itu.
Islam menasihati umatnya agar  melindungi rahsia sau daranya, bukan sengaja mencari kelemahan dan  membuka aibnya kepada khalayak, kerana dengan tindakan itu boleh  menjatuhkan maruahnya.
Rasulullah s.a.w menegaskan, menyelidiki  rahsia dan mem fitnah orang lain yang baik, termasuk ciri orang munafik  yang mengaku beriman dengan lidahnya, sedangkan hatinya benci. Mereka di  hari kiamat akan dibebani dengan dosa besar di depan Allah.
Hari  ini medan menabur fitnah terlalu banyak. Dengan perkembangan teknologi,  semakin mudah pula mengadakan berita palsu, fitnah dan segala celaan,  dengan cepat tersebar ke seluruh ceruk rantau.
Cukup dengan  memasukkannya ke dalam Internet atau blog, semudah itulah manusia  berbuat dosa dan semudah itu juga umat Islam boleh bersatu dan berpecah  belah.
Bagi Muslim sepatutnya perlu bertanggungjawab atas apa  yang ditulis, diucap dan disebar, bukannya menulis, bercakap dan  menyebarkan berita mengikut sesedap hati tanpa di selidiki, kerana semua  itu akan ditanya Allah.
“Dan janganlah kamu mengikut apa yang  kamu tidak ketahui; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati,  semuanya akan ditanya apa yang dilakukan.” (al-Isra:36)
Orang  yang menyebarkan fitnah nanti di dalam kubur akan diseksa Allah. Perkara  ini dapat dibuktikan melalui kisah yang diceritakan Rasulullah s.a.w.
Suatu  ketika Rasulullah s.a.w melalui dua kubur lalu baginda bersabda,  maksudnya: “Sesungguhnya penghuni dua kubur ini diseksa. Keduanya tidak  diseksa kerana dosa besar. Adapun seorang daripadanya tidak bersuci  daripada ken cingnya dan yang satu lagi suka memfitnah.
Kemudian  Rasulullah s.a.w mengambil pelepah kurma yang basah dan memotong dua,  lalu dipacakkan pada kedua-dua kubur terbabit sambil berdoa: “Semoga  Allah meringankan seksaan atas keduanya.”
Allah tidak membenarkan  perkara keji, berita palsu ber kembang dalam masyarakat Islam,  lebih-lebih lagi jika ia membabitkan kehormatan dan maruah seseorang.
Orang  yang suka mengadu domba tidak akan masuk syurga, sebagaimana sabda  Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka  mengadu domba.”
Sebagai Muslim, sepatutnya masing-masing  menghayati pengertian terhadap ‘Islam’ yang dianuti dan dijadikan cara  hidup, iaitu kesejahteraan.
Agama kesejahteraan bukan hanya  menjamin kesejahteraan kepada diri sendiri, malah ia juga memberikan  kesejahteraan kepada orang lain, dengan tidak mengata terhadap saudara  seagama, tidak menyakiti mereka dan tidak mencabuli hak mereka.
Perbuatan  menabur fitnah sebenarnya lebih kejam daripada membunuh, kerana kesan  kerosakannya lebih teruk. Jika dengan membunuh, walaupun ia tetap salah,  tetapi mang sanya mungkin seorang, tetapi dengan fitnah mungkin  mengakibatkan ramai orang dan kesannya berentetan se hingga  bertahun-tahun.
Pada zaman nabi dulu pernah berlaku peristiwa  fitnah, sebagaimana dialami isteri baginda, Saidatina Aisyah r.a. Beliau  dituduh melakukan perbuatan keji dengan Safwan bin al-Ma’athal selepas  perang umat Islam dengan Bani Mush thalaq pada tahun kelima hijrah.
Akibat kejadian itu, lebih sebulan Aisyah sakit dan di asingkan Rasulullah sehingga turun ayat yang menegaskan kesucian beliau.
“Sesungguhnya  orang yang membawa berita dusta itu golongan daripada kalangan kamu;  jangan kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu bahkan ia  baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang antara mereka akan beroleh hu kuman  sepadan dengan kesalahan dilakukannya itu, dan orang yang mengambil  bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa  yang besar (di dunia dan di akhirat).
“Sepatutnya semasa kamu  mendengar tuduhan itu, orang yang beriman lelaki dan perempuan, menaruh  baik sangka kepada diri mereka sendiri, dan sepatutnya mereka berkata:  Ini ialah tuduhan dusta yang nyata.
“Sepatutnya mereka (yang  menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana  mereka tidak mendatangkan empat saksi itu, maka mereka itu pada sisi  hukum Allah adalah orang yang dusta.
“Dan kalaulah tidak kerana  adanya limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, di dunia dan di  akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu  turut campur dalam berita palsu itu.
“Iaitu semasa kamu bertanya  atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu dan memperkatakan  dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai penge tahuan  mengenainya; dan kamu pula menyangka perkara kecil, pada hal ia pada  sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.
“Dan  sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: Tidakkah layak  bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari  mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta  besar yang mencengangkan.
“Allah memberi pengajaran kepada kamu,  supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini lamanya, jika  betul kamu orang yang beriman.
“Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukum-Nya); kerana Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
“Sesungguhnya  orang yang suka menghebah tuduhan yang buruk di kalangan orang yang  beriman, bagi mereka azab yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di  akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu  tidak mengetahui.
“Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia  Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, dan sesungguhnya Allah amat melimpah  belas kasihan-Nya.” (an-Nur: 11-20)
Melalui keterangan itu jelas  kepada umat Islam, apabila menerima sesuatu berita hendaklah terlebih  dulu diselidiki, lebih-lebih lagi berita yang menyentuh kehormatan se  seorang, kerana mungkin dengan penyelidikan itu dapat mengetahui lebih  jelas perkara terbabit, sama ada benar atau palsu.
“Wahai orang  yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang yang fasik membawa sesuatu  berita, maka selidikilah kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan  suatu mu sibah kepada kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga  menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan.” (al-Hujuraat:6)
 
 
No comments:
Post a Comment
arigatO!