Pengikut setia

Showing posts with label Bahagia. Show all posts
Showing posts with label Bahagia. Show all posts

Tuesday, 31 January 2012

Perempuan tahukah kamu bahawa kamu itu sangat MAHAL?

Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunia ini adalah perempuan.
Percaya? Saya bukan nak main gula-gula di sini. Tetapi saya serius menyatakannya. Ketahuilah bahawa, makhluk yang paling saya sayangi di atas dunai ini adalah perempuan.
Mengapa?
Jika yang lelaki bertanya, saya mungkin memahami. Tetapi perempuan, jika kamu yang bertanya, maka saya kehairanan.
Apakah kamu tidak tahu megapa saya sayangi kamu? Adakah kamu tidak menyedari betapa istimewanya kamu?
Aku dari rahim seorang perempuan
Kalau difikirkan semula, tiada lelaki yang dilahirkan selain dari rahim ibu melainkan Nabi Adam AS. Perhatikanlah Sultan, pemerintah, perdana menteri, laksmana, tentera, pegawai, jurutera, doktor, doktor falsafah, genius, semuanya dilahirkan dari perut seorang perempuan.
Saya, dari rahim seorang perempuan juga.
Tiada manusia dilahirkan hebat. Mereka semua dilahirkan sebagai manusia biasa. Tetapi biasanya manusia-manusia hebat ini mempunyai ibu yang hebat di sisi mereka. Yang mendidik dan memberikan suasana kepada mereka semenjak kecil.
Mengapa pula saya tidak menyayangi perempuan? Mengapa pula saya tidak mengambil berat terhadap mereka? Dari rahim mereka lahirnya pewaris masa hadapan!
Sekiranya saya membiarkan perempuan rosak, dirosakkan, merosakkan diri mereka, maka sama sahaja dengan saya membiarkan masa hadapan dunia hancur, gelap, kelam dan hitam.
Jangan lupa, dari rahim perempuan juga lahirnya penderhaka, penjenayah, perogol, pencuri, yang ingkar kepada Allah, pembohong, dan banyak lagi manusia-manusia yang mencorakkan dunia dengan kehitaman. Hatta Barrack Obama  juga lahir dari perut seorang perempuan.
Sekiranya perempuan yang menggendong masa hadapan dunia selama 9 bulan 9 hari ini rosak, di mana masa hadapan dunia?
Mustahil saya tidak menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan yang saya inginkan, melainkan perempuan juga menyayangi diri mereka dan menjaga peribadi mereka daripada perkara yang Allah larang dan murka.
Perempuan sayap kiriku
Saya hendak berkahwin dengan siapa? Mustahil dengan lelaki. Baik macam mana pun saya dengan mereka, mustahil saya akan berkahwin dengan mereka.
Saya akan berkahwin dengan seorang perempuan.
Mustahil saya tidak menyayangi kaum ini. Yang menjadi isteri-isteri dan pendamping kepada lelaki. Yang menjadi pengawal kepada segala rahsia seorang lelaki. Yang menjadi guru kepada anak-anak seorang lelaki. Yang menjadi penenang dan penyejuk mata serta pendamai jiwa seorang lelaki.
Kestabilan seorang perempuan, menjamin kestabilan seorang lelaki.
“Apabila enta bangun tidur dan melihat isteri enta di sebelah, enta akan merasakan keajaiban penciptaan Allah SWT” ~ Pakcik Rosdi. Dan dia berkata dalam keadaan tersenyum. Hidupnya bahagia dengan ketenangan isterinya: Cikgu Maimunah
Maka mustahil saya hendak membiarkan perempuan rosak, dirosakkan atau merosakkan diri mereka sendiri. Kerana mereka adalah penjaga-penjaga lelaki di satu sisi. Suami-suami memerlukan isteri-isteri yang solehah, yang baik, yang taat kepada Allah dalam rangka hendak membangunkan ummah.
Tidak dinafikan isteri-isteri juga memerlukan suami-suami yang baik. Tetapi bukan sedikit lelaki yang berubah kerana cinta seorang perempuan. Maka mengapa perempuan tidak mempersiapkan diri mereka lebih sedikit untuk mengubah seorang lelaki dengan cinta?
MasyaAllah.
Saya amat menyayangi perempuan. Maka tiadalah harapan saya melainkan perempuan menyayangi diri mereka sendiri. Menjaga diri dari kerosakan. Menjaga diri dari kemungkaran. Mempersiapkan diri menjadi hamba Allah yang taat. Buat apa yang disuruh, meninggalkan apa yang dilarang.
Maka amat menyedihkan saya jika…
Bila sayang, akan datang ambil berat. Semestinya demikian. Saya amat hairan kalau seseorang itu menyatakan sayang kepada si fulan: “Aku sayang sangat dengan kau” kemudian dia melemparkan si fulan itu ke dalam api. Mustahil itu adalah sayang.
Maka kerana sayang itu jugalah saya akan terluka apabila melihat perempuan-perempuan berkeliaran tanpa menutup aurat. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercedera apabila melihat ada perempuan-perempuan tidak menjaga maruah mereka dan berpeleseran dengan lelaki tanpa segan silu. Kerana sayang itu jugalah saya akan terasa apabila melihat perempuan-perempuan menayangkan akhlak buruk mereka. Kerana sayang itu jugalah saya akan tercucuk dengan perempuan yang tiada rasa malu pada diri mereka.
Kalaulah perempuan tahu bahawa mereka memegang nasib dunia. Mereka bakal ibu dan isteri. Ibu kepada anak dan isteri kepada suami. Nyatakan kepada saya bagaimana mereka ini tidak memberikan kesan kepada dunia? Semestinya mereka ini memberikan kesan. Dan kesan yang diberikan oleh kamu wahai perempuan, bukannya sedikit bahkan besar.
Sudah wujud di dalam sejarah, kerajaan hebat jatuh kerana seorang perempuan. Sudah wujud di dalam sejarah, abid hebat jatuh kerana seorang perempuan.
Sebab itu saya sangat menyayangi perempuan dan sering memikirkan mereka.
Apakah perempuan-perempuan memikirkan diri mereka sendiri?
Penutup:
Jika sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Tetapi…
Jika sayang ini tidak berbalas, tidak mengapa. Bukan tujuan saya menulis artikel ini untuk disayangi perempuan. Tetapi tujuan saya menulis artikel ini untuk perempuan menyayangi diri mereka sendiri.
Maksud sayang pada saya adalah = Hendak masuk syurga bersamanya.
Maka kalau tak nak masuk syurga dengan saya, at least kamu kena lah rasa hendak masuk syurga dengan diri kamu wahai perempuan. Maka jagalah diri, persiapkan peribadi. Kamu pemegang masa hadapan dunia. Dan tiada yang memberikan kesan lebih besar terhadap dunia selain kamu wahai perempuan.
Kalaulah kamu tahu betapa sejuknya mata ini melihat perempuan-perempuan yang berakhlak. Kalaulah kamu tahu betapa senangnya jiwa ini melihat perempuan-perempuan yang pemalu. Kalaulah kamu tahu betapa seronoknya kalbu ini melihat perempuan-perempuan yang menutup aurat. Kalaulah kamu tahu betapa tenangnya diri ini melihat perempuan-perempuan yang menjaga batas pergaulan.
Wahai perempuan, tidakkah kamu memandang diri kamu berharga?
Maka jangan murahkan.
Siapkan dirimu untuk menggoncang masa hadapan dengan keimanan dan ketaatan.
Bukan dengan kehancuran dan kerosakan.
Sungguh, saya merayu di sini. Agar kamu mencintai diri sendiri.
Sumber asal : http://langitilahi.com ( Hilal Asyraf )

Monday, 5 December 2011

Keresahan hati berpunca dari keimanan yang rapuh

PUNCA-PUNCA kesedihan - jika ada satu alat yang sesuai untuk mengukur kekuatan iman, tentulah alat itu adalah ‘hati’. Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia. Seseorang yang suka menyentuh hatinya dan merawat dengan baik akan semakin mengenali dirinya sendiri.

Jika gelisah, sedih dan putus asa menguasai diri, dia akan bertanya kepada hati apakah sebabnya? Kemudian ilmu diperlukan untuk menjawab soalan, akal diguna sambil hati memandu cuba merungkai penyebab kesedihan itu. Akhirnya ditemukan jawapan punca kesedihan, kemurungan, gelisah dan tekanan pada diri manusia iaitu;

1. Suka membuang masa. Hiburan dan permainan boleh merehatkan hati dan menjadikannya lebih bertenaga, tetapi apabila terlalu berlebihan ia boleh membunuh. Orang mukmin membahagikan masanya kepada tiga bahagian, iaitu:

Pertama untuk Allah SWT, kedua untuk dirinya sendiri yang meliputi fikiran, perasaan dan tubuh badannya dan ketiga untuk keluarga dan umatnya. Sikap membuang masa biasanya dipengaruhi oleh persekitaran. Manusia akan mudah terpengaruh dengan apa yang dilihat dan didengar daripada pergaulan. Berkawan rapat dengan orang yang suka membaca boleh mempengaruhi minat kita kepada buku, begitu juga bila suka iktikaf di masjid mendengarkan syarahan agama akan menjadikan kita dekat dengan ilmu.

Kita sentiasa berhadapan dengan dua pilihan dalam hidup ini, jalan baik atau yang buruk. Kawan yang jahil atau soleh, situasi mengingatkan kita pada Allah atau melupakannya. Membuang masa menyebabkan kemalasan yang berakhir dengan kegagalan, sedih dan tertekan. Seorang mukmin yang benar imannya sentiasa berada dalam situasi jihad iaitu bersungguh-sungguh mengisi masanya dengan perjuangan dan pengorbanan untuk memenangi pertarungan melawan iblis dan syaitan.

2. Kesedihan juga berpunca daripada sifat dengki dan mengikut nafsu. Ada orang berasa sedih menyaksikan orang lain yang mengatasi kehebatannya. Lebih berjaya, kaya, berpangkat, cantik dan bergaya. Risau dan tertekan bersarang di hati, ditambah dengan sifat dengki dan dendam yang pasti akan memalapkan cahaya iman.

Ubat bagi kesedihan sebegini adalah dengan melihat siapa yang berada di bawah anda. Bukankah ramai manusia yang tiada apa-apa untuk dimakan pada hari ini? Rumah mereka musnah oleh banjir dan badai, anak dan isteri mereka mati di hadapan mata kerana tembusan peluru, kehancuran bangsa dan negara oleh kekejaman perang. Mengapa perlu bersedih jika kita masih memiliki orang yang tersayang, mengapa risau jika harta kita dilindungi Allah SWT, jika ia berkurangan bukankah selama ini Allah memberi jumlah yang banyak tak terhitung? Semenjak dari rahim ibu lagi rezeki sudah dikurniakan kepada kita. Sudikah kita jika seseorang mahu menukar kedua mata, kaki dan tangan kita dengan wang berjuta? Tentu ia lebih berharga daripada wang. Kenikmatan yang Allah kurniakan itu terlalu banyak, tetapi hanya sedikit manusia yang mahu bersyukur.

3. Kesedihan kerana melupakan Allah. Bagaimanakah keadaan orang yang melupakan Allah? Dalam surah Al-Hasyr ayat 19 Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang melupakan Allah. Lalu Allah menjadikan mereka melupakan diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasiq.”

Makna melupakan diri mereka sendiri adalah mereka meninggalkan amal soleh yang boleh menyelamatkan diri mereka di dunia dan akhirat. Orang yang melupakan Allah SWT mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

Hari dilalui tanpa ibadat, lupa berzikir, mengabaikan sembahyang, tidak membaca ayat al-Quran, menjauhi ilmu dan meninggalkan amal soleh. Kehidupan dunia menjadikan mereka buta, tidak dapat menjejaki jalan ke akhirat. Keadaan mereka seperti binatang kerana mereka hidup semata-mata untuk makan, minum, tidur, berkahwin dan memuaskan nafsu saja.

Ini sesuai dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan jin dan manusia, mereka memiliki hati tapi tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, dan mereka memiliki mata tetapi tidak dipergunakan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah dan mereka memiliki telinga tetapi tidak dipergunakan untuk mendengar ayat-ayat Allah. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (Surah Al-A’raf: 179).

Benarkah orang yang kaya tidak berasa sedih, putus asa dan tertekan? Sebenarnya, ia bergantung kepada sumber hartanya dan untuk apa ia dibelanjakan. Kekayaan yang sebenar adalah kaya hati. Iaitu hati yang sentiasa bergembira kerana iman kepada Allah dan bersyukur serta reda dengan qada dan qadar-Nya.

INFO: Hati sebagai alat kawalan manusia
Allah SWT menjadikan hati itu hidup dan berfungsi sebagai pusat kawalan bagi anggota badan manusia.

Orang yang merawat hatinya dengan pelbagai amalan dituntut syariah pasti akan mengenali diri.
Hiburan berlebihan, sifat dengki, mengikut nafsu dan lupa kepada kebesaran Allah SWT penyebab kepada ‘kesedihan’ hati.

Mukmin yang hatinya sentiasa menekankan tuntutan syariah akan membahagikan masa untuk Allah SWT, diri sendiri dan untuk keluarga serta umat Islam.

Thursday, 25 August 2011

Kita insan yang bertuah

Pernahkah kita mengeluh sebab kesusahan yang kita alami?

Adakah kesusahan disebabkan sifat atau sikap kita yang mengundang masalah?

Jawapannya mungkin ye atau mungkin tidak.

Apa pun kita patut bersyukur kerana masih bernafas. Dengan kudrat yang diberi Ilahi, InsyaAllah kita boleh berubah menjadi lebih baik. Maka kita adalah Insan Yang Bertuah.

Kita sakit sudah lama, baik cuma seketika. Namun kita juga adalah Insan yang bertuah kerana setiap kali sakit, kita pasti mengadu kepada Allah. Kita tahu, sakit dan sembuh adalah hak NYA. Kita hanya mampu berusaha sedaya yang kita mampu. Dengan mempunyai nawaitu seperti itu, maka kita sebenarnya semakin mendekati Allah SWT.

Kalau kita tidak sakit, kita tidak pasti sama ada kita akan bersyukur dengan kesihatan yang diberi. Kita selalunya LALAI dalam mengingatiNYA dikala kita senang. Standard le tu. Kita semua manusia biasa.

Kalau kita sakit, pasti ada orang yang lebih sakit dari kita.

Seteruk mana kita pasti ada orang yang lebih teruk dari kita. Oleh itu kita adalah insan yang bertuah kerana kita bukan orang PALING TERUK sakit.

Hidup kita banyak sangat masalah? Karang tak ada masalah, payah pulok! Mengeluh setiap kali ada masalah? Standard le.. cuma jangan le terover mengeluh. Apa pun setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Cuma penyelesaian tu cepat atau lambat aje. Kadang-kadang masalah tidak dapat diselesaikan, so kita kenalah cari 'workaround' untuk mengatasi masalah tersebut. Apa apa pun kita masih insan bertuah kerana masih diberi akal untuk cuba pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah.

Kalau kita ada masalah, cuba tengok masalah orang lain. Nanti sure kita bersyukur kita tidak mempunyai masalah seteruk kawan kita. Baru kita tahu yang kita adalah insan yang bertuah kerana tidak menghadapi masalah seperti kawan kita tu.

Kita memang insan yang bertuah, tak percaya. Cuba kita tengok pasangan dan anak-anak kita masa depa tidur. Sungguh lena dan tenang wajah mereka. Kita pasti setiap dari mereka pasti ada masalah. Tak kira le masalah belajar, masalah dgn kawan-kawan dan sebagainya. Tetapi masa tidur, wajah mereka pasti nampak tenang. renung lama-lama. InsyaAllah kita bersyukur kerana kita masih ada mereka.

Apa yang penting kita bersikap positif dalam menghadapi dugaan. Jangan kecewa kalau sesekali kita terlajak berfikiran negatif sebab kita adalah manusia. Sekali kita ada niat untuk berubah ke arah positif, itu sudah menjadi petanda baik. Maka slow-slow le kita berubah ke arah positif tu. Perubahan drastik jarang bertahan lama. Adalah elok kita buat perubahan slow and steady, yang penting adalah istiqamah atau makna lain berterusan.

Tanamkan dalam hati kita
"KITA INSAN YANG BERTUAH"

Salam Ramadan buat semua.

Thursday, 4 August 2011

Cara mendapat manfaat makan pada Ramadan

DALAM ruangan kali ini, saya ingin sarankan beberapa perkara dari segi kesihatan dalam menjalani puasa Ramadan. 

Puasa sebagai suatu latihan rohani yang menyebabkan rasa letih lesu dan dahaga, mengubahkan tabiat tidur dan makan kita sebulan lamanya. Bukan mudah hendak melakukannya, tetapi amat manis apabila dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

Sebenarnya dari segi kesihatan badan, puasa yang diamalkan selama kira-kira 14 jam sehari ada banyak manfaatnya. 

Apabila kita menahan diri daripada makan dan minum, anggota badan yang terbabit dengan penghadaman dapat kerehatan. 

Sel badan juga dapat mengeluarkan bahan buangan dengan lebih baik sebab dibebaskan daripada proses perkumuhan bahan makanan. Pemecahan lemak yang berlaku mengeluarkan toksin yang terperangkap dalam lemak. 

Untuk mendapat manfaat maksimum, kita perlu penuhi beberapa syarat: 

Sistem pembuangan najis perlu berfungsi dengan baik dan tidak boleh sembelit.

Kalau sembelit sebelum mulakan puasa, ini akan menyebabkan proses perkumuhan dan pembuangan toksin yang berlaku dalam hati tidak cekap. 

Seterusnya, sel badan tidak akan dapat membuang sisa perkumuhan dengan baik, maka badan akan simpan segala toksin yang mengakibatkan sakit kepala, mulut berbau, lenguh badan dan lesu. 

Untuk mengelak perkara itu, pastikan kita makan banyak bahan berserat dan minum banyak air pada hari-hari sebelum mula puasa. 

Kalau perlu, ambil ubat lawas buang air besar yang bertindak lembut seperti asam jawa atau ‘lactulose’ yang boleh dibeli di farmasi.

Lactulose adalah gula yang tidak hadam dan tidak akan bertukar menjadi glukos, maka boleh dimakan oleh orang yang menghidap kencing manis. 

Lactulose bersifat ‘prebiotic’ dan baja untuk kuman baik (good bacteria) dalam perut kita (acidophillus). Maka, dengan mengambil lactulose kita dapat membetulkan iklim dalam usus kepada yang paling sihat. 

Sewaktu berbuka dan bersahur, pilihlah makanan yang mudah hadam dan berkhasiat serta seimbang. Ini bererti kita perlu merancang menu berbuka supaya sempurna. Pastikan jangan ada pembaziran sebab orang lapar memang ada kecenderungan untuk menyediakan makanan yang terlalu banyak.

Elak makanan yang kita tahu menyebabkan sakit. 

Ramai yang tahu makanan mana yang dia alah (allergic) dan boleh menyebabkan sakit. Saya ingatkan juga supaya jangan makan makanan yang terdedah terlalu lama dan tidak disimpan dalam peti sejuk. 

Bakteria di negara panas seperti Malaysia amat cepat membiak dan walaupun makanan tidak berbau basi, mungkin sudah cukup bakteria untuk menyebabkan keracunan makanan. 

Kalau boleh jangan makan makanan yang berada dalam peti sejuk lebih daripada sehari kecuali yang sudah dibekukan selepas dimasak.

Kalau tahu ada alahan pada sesetengah makanan, memakan makanan itu ketika berbuka boleh mencetuskan alahan. Perkara ini boleh berlaku sebab alergi pada makanan lebih ketara apabila kita makan bahan itu ketika perut kosong. 

Elak makanan yang terlalu pedas dan berempah sebab pada masa puasa kita tidak minum dan perut kosong.

Memakan makanan berempah boleh menyebabkan masalah penghadaman dan buah pinggang. 

Selepas berbuka, minum air sebanyak boleh. 

Sebaik-baiknya adalah air bersih dan menjalani proses penapisan yang baik. Ketika solat Tarawih, bawa botol air dan minum di antara solat.

Minuman berkafein akan menyebabkan asid dalam perut bertambah dan bagi sesetengah orang akan menyebabkan pedih hati ketika berpuasa. Kafein boleh menyebabkan jantung berdebar dan susah untuk tidur.



Oleh Dr Suriya Osman

Sunday, 5 June 2011

Refleksi bertunang semasa belajar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Ustaz, saya ingin tanya satu soalan".
Mesej offline tiba-tiba muncul, sebaik sahaja penulis sign-in yahoo messenger.
"Just ingin minta pendapat sahaja".
"Saya ada berkawan dengan seorang lelaki dan dia juga merupakan pelajar di luar negara dalam Pengajian Islam. Dia mahu kami bertunang dalam fatrah kami masih student. Tapi saya tidak setuju, sebab kalau boleh saya nak habiskan belajar dahulu. Macam-macam alasan saya beritahu kepadanya untuk kebaikan bersama," tambah beliau (seorang perempuan yang disembunyikan identiti) lagi.
Dialog santai ini penulis terima dua minggu lepas, selepas usai menunaikan solat subuh di Masjid Syarifuddin El-Kurd. Ada beberapa tambahan kata-kata daripadanya, yang mana terkesan membaca beberapa sisipan artikel yang diterbitkan sebelum ini. Mungkin soalan nampak biasa-biasa sahaja, namun jenuh juga untuk menjawab mengikut situasi semasa. Kena tengok banyak sudut, baik dari sisi manfaat atau kesan buruk bila berlaku sedemikian. Boleh katakan kebanyakan dan lambakan e-mail yang penulis terima daripada para pembaca, adalah feedback daripada labels 'Keluarga Bahagia'. Berpeluh juga kalau fikir-fikirkan.
Kita semua akur dengan selera dan kehendak naluri insan terhadap pasangan idaman. Kita sedari bahawa sifat pasangan yang dianjuran Islam merupakan satu bentuk 'ilmu dalam pencarian' yang lazim diketahui umum. Bahkan lelaki yang jahat sekalipun biasanya berharap untuk mendapatkan isteri yang solehah. Namun hakikatnya pertimbangan akhlak mulia yang disarankan agama biasanya tewas apabila ukuran fizikal telah mengelabui mata. Lelaki kebiasaannya akan memilih wanita yang cantik walaupun lidahnya menuturkan keinginan mendapatkan isteri yang solehah. Solehah seorang wanita sering kali tewas bila wajah tidak semanis budi. Itu hakikatnya nafsu lelaki.
Walau apapun, tergerak juga rasa hati anda sudah sampai untuk melabuhkan tirai bujang, sebetulnya anda berhak perolehi satu pujian selepas melihat kondisi dan beberapa faktor yang memungkin anda berbuat sedemikian. Tahniah! Nabi bersabda; "Apabila datang kepadamu seorang lelaki, datang untuk meminang yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya. Maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan, maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi" ,(Hadith Riwayat Termidzi dan Ahmad) .
Definisi Pertunangan daripada Kaca Mata Islam
Ikatan sementara sebelum berlangsungnya sebuah akad nikah ini, sering kali disalah anggap oleh khalayak orang ramai khususnya muda-mudi. Seolah-olah simpulan ini menjadi 'lesen besar' untuk melakukan maksiat, dengan alasan 'kami sudah bertunang'. Justeru, sangat perlu kepada semua pasangan yang ingin atau sudah bertunang mengetahui hak dan batas-batas sempadan syariat sebelum sebuah ikatan yang hak, benar-benar terpatri. Islam telah mensyariatkan pertunangan sebagai langkah dan wasilah sebelum melangsungkan perkahwinan. Pertunangan banyak memberi faedah dan membantu dalam menjamin keutuhan rumahtangga yang bakal dibina. Namun roh sebenar sebuah ikatan ini merupakan subjektif yang memerlukan kefahaman yang jitu, dan harus dijaga agar kesuciannya tidak dinodai.
Pertunangan ialah satu langkah bagi seorang lelaki menyampaikan keinginannya untuk mengahwini seseorang perempuan yang disukainya samada langsung kepada perempuan tersebut atau kepada walinya. Ianya boleh dilakukan secara langsung oleh lelaki yang hendak berkahwin atau melalui wakilnya. Sekiranya hasrat hati lelaki itu diterima oleh perempuan berkenaan maka mereka menjadi pasangan tunang. Bermula dengan penerimaan wanita yang berkenaan sehinggalah masa Ijab dan Qabul, inilah yang dinamakan sebagai tempoh pertunangan.
Sebelum lelaki meminang seseorang perempuan, penting untuk dia merisik dan menyelidik latar belakang perempuan yang ingin dipinangnya terlebih dahulu serta yakin dengan pilihannya setelah melakukan Istikharah dan sebagainya. Yakin dengan pilihan pasangan ini sangat penting untuk mengelakkan pinangan yang dibuat ditarik balik. Ini kerana tindakan seperti ini akan menyakiti hati wanita, melukai perasaannya dan menjatuhkan kehormatannya. Tindakan seperti ini tidak dibenarkan oleh agama dan bertentangan dengan nilai murni dalam masyarakat Islam.
Namun jika sepanjang tempoh pertunangan tersebut bertaut, mungkin kekurangan yang dirasakan oleh pihak lelaki, maklumlah pertunangan ini juga boleh dianggap fasa untuk berkenalan dengan lebih dekat bakal pasangan sebelum betul-betul matang dan masak untuk mendirikan masjid. Bukan menolak pinangan, maksud penulis memutuskan talian pertunangan, iaitu ketika sedang bertunang. Jika berlaku juga, maka hendaklah di pihak lelaki menyembunyikan kekurangan atau kelemahan bekas tunangnya itu, bagi mengelakkan rasa aib pada diri dan ahli keluarganya.
Bagi pasangan yang bertunang mereka juga perlu menjaga batas dan larangan sepanjang bertunang kerana mereka masih lagi bukan mahram cuma ada ikatan dan janji mahu hidup bersama. Kononnya, kata orang-orang dulu 'Mahu hidup semati'. Mungkin sudah ada dalam senyap-senyap, dikalangan para pembaca yang merancang untuk melangsungkan pertunangan. 'Mata air' di tanah air, diri pula di perantauan. Rasa macam tak boleh tahan, bimbang 'si dia' dikebas lelaki lain. Tidak pasal-pasal mandi tak basah, makan tak kenyang, tidur pula asyik mimpi 'si dia' sahaja, dan baca pun tak masuk. Rasa marah kadang-kadang pun ada. Sudah nasib badan.
"Boleh ke ustaz, bertunang masa belajar?". "Nanti bila dah bertunang, lepas tu masing-masing ada komitmen dengan pengajian masing-masing sehingga berlanjutan sampai bertahun-tahun. Lama tu, kan makruh!" Kalau nak mudah jawab, boleh sahaja penulis katakan;
"Tu...! Tengok je orang kahwin ketika masih belajar, tidak ada apa-apa pun. Inikan pula bertunang. Bertunanglah, kalau nak sangat". "Itukan sunnah juga. Kenapa nak takut sangat".
Mungkin anda pun boleh meneka juga jawapan seperti di atas, sudah maklum katakan. Tapi mungkin juga ada betulnya, dari sisi yang lain akan timbul kesan-kesan yang tidak baik. Namun penulis menganggap ianya salah satu bentuk ujian, kenalah tabah dan sabar hadapinya. Penulis rasa tidak ada masalah, jika tempoh masa pertunangan tersebut lama. Lama dalam erti kata lain, kerana terkesan sibuk dengan tugasan, seperti pengajian dan sebagainya. Sebagai contoh, Kalau bertunang dua tahun, sorang sibuk kerja dengan pelbagai aktiviti, manakala sorang lagi sibuk dengan pengajian di bidang perubatan umpamanya.
Rasanya dua tahun tu sekejap sahaja, terutama untuk pihak lelaki yang bertanggungjawab untuk bersedia. Tapi kalau bertunang sampai enam bulan, kerja satu pejabat, duduk ditempat semacam cubicle mengadap antara satu dan lain. Hari-hari pula tu jumpa sehingga kenal 'lobang' dan bulu hidung, manakala rambut pula tak disikat pun boleh perasan enam bulan tu panjang dan lagi berisiko. Menolak tafsiran tekstual dan robotik. Namun di sana, anda kenalah sahut cabarannya juga. Kenapa? Bagi penulis, ramai yang mengatakan mereka cuba menjaga tetapi terperangkap dalam masalah hati, iaitu zina hati yang 'Islamik Romantik'. Berbaur Islam, tetapi membawa kepada masalah penyakit hati yang parah dan kronik. Pandai-pandai jaga.
Matlamat Utama Jadi Sandaran
Konsep pertunangan yang semakin terasing dari kehidupan masyarakat kita sekarang. Pada penulis, kawalan diri kita tu paling utama. Kuat atau seseorang itu bergantung kepada keimanannya. Di sinilah, Iman ditugaskan menjadi sebagai remote control bagi perlakuan kita. Jadilah remote control yang efektif. Pandai-pandai kawal, bukan dengan nafsu tapi Iman. Sebaiknya kita tetapkan hati, pendirian dan bersederhana. InsayaAllah, kalau kedua-dua pihak memahami tujuan sebenar perkahwinan, mengikut saluran yang sebenarnya, mengambil jalan sederhana dan wara' dalam menjaga batasan, insyaAllah semuanya baik dan tenang sahaja. Menyerahkan urusan kepada kedua ibu bapa juga membantu melancarkan proses secara all rounder.
Mungkin bagi sesetengah indivudu, banyak cabaran semasa bertunang, setengah yang lain biasa-biasa sahaja. Semuanya sesuai dengan apa yang Allah Taala berikan. Apa yang baik disyukuri, dan yang kurang diredhai. Baru betul! Berhubung antara pasangan tunang perlu juga diperhatikan, melainkan keperluan tentang perancangan yang penting. Sebaiknya dielakkan telefon kecuali bagi yang benar-benar mantap dan boleh menjaga hati serta tiada jalan lain untuk berbincang hingga ke rumah, itupun dengan parents atau orang tengah. Juga fokuskan kepada perancangan perkahwinan dan self-improvement.
Sebab ramai yang asyik dan mabuk di alam pertunangan, namun terlupa nak mempersiapkan diri untuk alam rumahtangga yang lebih penting lagi. Usah difikirkan banyak tentang hal ini, nanti lain pula jadinya. Jangan dilayan perasaan semasa bertunang. Fokuskan kepada kehidupan yang sedang dijalani dan diperjudikan sekarang. Berhubung dengan minimakan seminimanya. InsyaAllah, tiada resah gulana, dan tiada masalah. Bertunang adalah satu wasilah. Cinta bukan segala-galanya. Namun segalanya yang dimulai dengan niat yang ikhlas, cara yang betul dan barakah akan menimbulkan dan memutikkan cinta yang sewajarnya selepas perkahwinan.
Kita kena dan perlu ingat! Naluri seorang ibu sungguh bernilai bagi seorang anak. Cuba jentik hati anda. Adakah kita maksum dari segala dosa noda? Sekarang ini kita berjauhan dari kedua orang tua kerana seberkas ilmu. Pengorbanan perlu dilakukan demi kebahagian masa hadapan diri dan mereka. Layakkah kita mencari dan bertemu jodoh yang dapat dibimbing dan membimbing? Tapi memang itu harapan anda, kita semua. Selain mendapat pasangan yang mampu dibimbing dan membimbing kita, restu ibu bapa amatlah penting dalam membina masjid. Tidak perlulah kita membelakangi mereka hanya kerana cinta. Cinta yang entah 'suci dalam debu' atau 'suci dalam asap'. Kenanglah pengorbanan mereka yang tidak terbalas walaupun segunung emas menjadi taruhan. Bukan lirik lagu semata-mata, tapi sebuah harapan.
Berhubungan semasa di alam pertunangan bukan tiket bagi kita untuk bergerak bebas dengan tunang. Ingat! Sekarang orang yang ber'couple' pun sudah berlagak seperti suami isteri dan lupa dunia. Tanyakan diri anda (kita), kemanakah kewarasan kita dalam membuat pertimbangan? semoga Allah Taala masih memberi kita ruang waktu untuk bertaubat di hamparan keheningan malam dengan penuh kehinaan. Pohonlah keampunan dari-NYA.
Allah Taala berfirman; "Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran."  Surah al-Baqarah (2:186) 

Ketakutan dia,seorang Lelaki

Assalamualaikum wbt..
Moga sentiasa bernafas dalam keikhlasan mencari keredhaanNYA diakhir tujuan setiap amalan Insya Allah. Moga juga sentisa kekal diatas jalanNya dan tidak sekali-sekali berputus asa untuk terus berjalan. Sewaktu saya menulis ini saya baru sahaja pulang dari kuliah di universiti. Dek kerana sesi lab dan kuliah kedua-duanya dibatalkan, Allah benarkan tenaga ini digunakan untuk menulis sedikit diruangan ini
.

Pagi ini saya mengambil keputusan untuk menuju ke universiti lebih awal berbanding sahabat-sahabat saya. Alhamdulillah sesampainya di univeristi, sekali lagi Allah benarkan saya untuk mengerjakan solat Dhuha terlebih dahulu. Seperti kebiasaanya pada setiap kali selepas solat, seperti juga anda, serangkap demi serangkap doa saya panjatkan pada Yang Maha Esa. Cuma dihulunya ..‘1 message received’..sejenak, I got a message from my Lord. Beberapa perkara khusus berlari-lari di setiap inci otak saya. Pantas saya cuba menghilangkan buat sementara waktu dan menghabiskan ‘permintaan-permintaan’ saya pada Allah.

Selesai segalanya, lantas saya menyandarkan badan yang masih dalam kesegaran wudhu’ ini di sebuah sudut yang terpencil di surau universiti yang nyaman dan damai sekali. Beg biru yang di hantar oleh ibu dari Malaysia saya capai, isinya saya keluarkan. Sebuah buku physiology kehijauan saya selak. Helaian demi helaian, bacaan demi bacaan. Satu pun saya tidak dapat fokus. Mengapa? Sebabnya perkara tadi masih lagi berlegar-legar difikiran saya. Seakan-akan meronta-ronta untuk dikeluarkan dan diterjemahkan. Tetapi, apa?

`Ketakutan seorang lelaki!’
Mungkin agak janggal bagi anda dan saya meniti mata kita dari `K’ sehingga I’` pada tajuk diatas. Tapi, inilah perkara yang bermain difikiran saya ketika itu. Saya pun tidak tahu dari mana pangkalnya dan dari mana hujungnya. Cuma yang saya tahu, ada lelaki yang sedang ketakutan disekeliling kita sedang mencari jawapan, jawapan bagi setiap soalan untuk dirinya. Sekali lagi pantas jari jemari ini berfungsi, kali ini untuk menutup helaian-helaian buku physilogy saya, ada perkara yang perlu diselesaikan..

Lelaki owh lelaki..jangan takut..Allah kan baik.


Saya teringat diwaktu dulu, ketika itu saya masih lagi kecil dan kurang mengerti selok-belok dunia ini. Hatta kini, masih juga sama. Cuma, Alhamdulillah, merentasi masa pasti juga akan merentasi suka dan duka. Syukur Allah benarkan saya belajar banyak perkara dari semua itu.

Saya insan biasa. Tetapi sukakan sesuatu yang luar biasa dalam keadaan yang biasa-biasa. Jadinya, kalau ada salah dan silap, sama-sama kita saling melengkapi. Moga Allah kira ini sebagai usaha untuk mendapatkan keredhaanNya.

Mari bermula! Dulu saya pernah bersembang dengan seorang akhi tentang cinta.Tapi, biasalah..dulu sembang-sembang sahaja. Kini, Allah bagi rezeki untuk terjemahkan balik satu-persatu, Alhamdulillah.
‘yer,memang kita perlu yakin dengan jodoh yang Allah bagi kat kita,tapi kita kena ada usaha..’
‘usaha’?
‘aah, usaha..’
‘oo00oo, usaha..'


Maka merentasi masa, saya melihat bermacam-macam usaha yang ada kat muka bumi ini, dalam mencari jodoh atau pasangan hidup.
‘Usahalah kenal dia, SMS laa’
‘Isk, apa susah..bercinta la, baru kenal..’
‘Baik tackle cepat, sebelum dia ditackle kan orang lain.melepas kau..’


Saya pun, angguk dengan pendapat-pendapat manusia, masa pun direntasi lagi.

‘Alamak, melepas laa aku dia, tak tau kenapa ‘.
‘Isk, bosannya kahwin, kalau aku tau..aku tak nak bercinta dulu..’
‘Buang masa aku jer..last-last bukan sesuai pun…'

Aih...dah bertukar dah..begitu pula jadinya....

Apa yang sahabat-sahabat boleh bayangkan dalam situasi dialog diatas? Apa yang ingin saya sampaikan? Ruang ini saya ingin memotivasikan lelaki-lelaki yang mungkin sedang dalam ketakutan dalam mengharungi hidupnya seharian (ingat, saya pun lelaki juga).




TEKNIK & TAKTIK:
1) Letakkan kenyakinan yang tinggi pada Allah swt.Usaha sebenar bukanlah terletak pd SMS, chatting, tackle menackle atau pada apa yang menjurus kepada sebuah perhubungan sebelum kahwin. Tetapi USAHA sebenar seorang lelaki adalah menahan segala-galanya dari perkara yang menjurus kepada itu. Itulah USAHA sebenarnya..

Bagaimana pula dengan hadis rasul kita, Nabi muhammad S.A.W? Dalam hadis, baginda rasulullah telah memperincikan jenis-jenis zina.

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Nabi S.A.W. bersabda :
“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah menetapkan nasib anak Adam mengenai zina. Tidak mustahil dia pernah melakukannya. Zina mata ialah memandang. Zina lidah ialah berkata. Zina hati ialah keinginan dan syahwat,sedangkan faraj (kemaluan) hanya menuruti atau tidak menuruti’



2) Setiap lelaki inginkan wanita yang solehah untuk mengasuh dan mendidik anak-anaknya. Ketakutan lelaki akan muncul apabila bertemu dengan calon pilihannya dan risau akan kehilangannya. Dia akan berusaha untuk mendapatkan wanita tersebut dengan cara yang berbeza-beza.
Untuk yang kurang pendedahan agama:Mungkin mengambil jalan untuk bercouple(dating etc)
Untuk golongan pertengahan :Biasanya akan menggunakan ayat2 kiasan,jelling menjeling dan mungkin bercouple tapi istilah ‘bercouple dalam islam’ …
Untuk golongan yang didedahkan dengan agama:Ini bahaya! Ramai juga pejuang-pejuang yang bertungkus lumus didalam agenda dakwah dan sebagainya dimata manusia, gugur di persimpangan ini. Nauzubillah min zalik. Sehingga ada yang sanggup menghadiri program tarbiyyah hanya semata hadirnya zaujah pilihan dihati. Ada juga yang menganggap diri masing-masing sebagai sahabat juang, lalu meluahkan masalah didalam perjuangan bersama-sama, sedangkan wujud jantina sejenis yang lebih afdhal? Alasan - akhawat lebih memahami?Sudahlah, syaitan lagi memahami. Astagfirullahal adzim, jauhkan lah semua ini dari kami Ya ALLAH.

Firman Allah ini sangat popular, namun ramai buat-buat tak tahu tentang kehadiran isi kandungan yang ingin disampaikan .

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”

Ianya adalah ‘mendekati’ , bukannya ‘melakukan’ ..Allah ingin mengajar kita supaya tidak mendekati cabang-cabang zina, walau seinci!..subhanallah.nauzubillah..ihfazna ya Rahman..

3) Lelaki punyai kekuatan, bukan pada tubuh badan. Tapi kekentalan menghadapi cabaran seorang perempuan.

Sebuah hadiht sahih: Ar rasul bersabda..
'Tidak aku tinggalkan fitnah paling besar dan berat kepada anak adam,melainkan perempuan'

Akhirnya kita dapat melihat bahawa setiap lelaki inginkan kebaikan dalam setiap perhubungan, mengharapkan teman hidup yang betul-betul mampu memahami. Disinilah muncul ketakutan didalam jiwa mereka sehingga menghasilkan `usaha’ yang tak diperlukan.
Ingat, sahabat-sahabat sekalian, sekiranya benar dan ikhlas tujuan kita, usaha kita yang sebenar adalah usaha menghalang segala `usaha’ yang akan menghalang kita mendapat cinta seperti cinta Rasulullah dan Khadijah.
Allah tak zalim, cinta suci, peliharalah kesuciannya.


Di benak hati, letakkan KEYAKINAN..ikutlah cara Islam, ikutlah undang-undang tuhan, ikutlah teladan Rasulullah dan sahabat, juga salafussoleh..moga ia akan memberikan kebahagiaan di DUNIA juga AKHIRAT.
Formula : Yakin + Islam’s way = isteri @ suami solehah..=)

Insya Allah..specific for me, but rugi kalau tidak disebar-sebarkan..kan?..manfaat bersama. Andai saya juga terleka, ingatkanlah saya..saya juga seorang lelaki..:)..
Syukran ‘ihfazillah yahfazka’..
salam ukhuwah..
KAHWIN!




this is the way
the only way..rite? 

Friday, 27 May 2011

Apa khabar jodohku

Berat rasanya kelopak mataku untuk tertutup. Bagaimana dengan kamu?

Apa kamu selalu terbangun di sepertiga malam terakhir? .. dan apakah mulutmu terus menerus berzikir dimalam hari?

Jujur aku rindu kamu, wahai jodohku..

Tapi saat ini belum saatnya untuk kita bertemu, bukannya aku tak mahu, atau aku tak rindu. Tapi sememangnya kerana perjalanan kita masih panjang, dan masih banyak kewajipan yang harus kita penuhi saban waktu.

Kadang–kala aku berfikir, apa nanti saat subuh tiba kau akan membangunkanku? Mengajakku bertafakur dan bersujud kepada-Nya?

Berat hati ini menantikanmu, gelisah pula hati ini memikirkanmu.

Adakah kau selalu menghiasi langkahmu dengan kebaikan-kebaikan?. Apakah nanti saat zuhur tiba, kau akan meninggalkan kesibukanmu sementara, hanya untuk menghadapNya?

Jodohku, sihatkah kamu?

Kalau aku berada disampingmu saat ini, mungkin aku akan merawatmu dengan penuh kasih sayang.

Jodohku, sabar dan tenanglah..

Aku disini masih bersabar menanti mu. Janganlah hatimubersedih, senyumlah.. kerana aku yakin kebahagiaan akan selalu menyertai kita.

Jikalau detik ini hatimu sedang terluka, berwuduklah.. dan dekatkanlah dirimu kepada-Nya. Tetapi disini aku berharap agar kamu baik-baik saja.

Jodohku, aku rindu..

Bilakah kita akan bertemu?. Begitu banyak hal yang ingin ku ceritakan kepadamu. Begitu banyak pula harapanku untuk menantikan nasihat–nasihat mu.

Hati ini kosong, dan hati ini tak sabar menanti kehadiranmu yang kan membalut dan menyembuhkan luka dihatiku.

Jodohku..

Adakah kau juga rindu padaku?. Bagaimana dengan Quranmu?. Sudahkah kau baca diantara maghrib dan isyak?. Apa yang kau fahami dari surah itu?. Ceritakanlah kepadaku.. ingin aku mendengarnya.

.. Dan begitu juga dengan keluhanmu, aku sedia mendengarnya..

Apa perubahan yang kau lakukan dari hari ke hari?. Semakin baikkah?. Ketahuilah, ku hanya mengharapkan yang terbaik buatmu.

Jodohku..

Disetiap langkahku dan seusai solatku, ku bisikkan AL-Fatihah untukmu, agar kau selalu berada dijalan-Nya.

Bersabarlah sayang, waktu-waktu ini bukanlah waktu yang lama.. dan ingatlah sayangku, janganlah sampai dirimu tersalah memilih jalan.

Jodohku..

Nantikanlah diriku, dengan perbagai kebaikan yang nantinya akan membawa rahmat untuk kita dari-Nya.

Jagalah dirimu dari hal-hal yang dilarang agama.. kerana aku mencintaimu secara tulus dan ikhlas demi-Nya.

Jodohku..

Bersiaplah kau untuk mencintaiku secara tulus dan redha menerima segala kekuranganku dan membenarkanku dikala aku salah.

Sayang, berusahalah membahagiakan orang tuamu .. dengan menjaga sikapmu dan tutur katamu. Aku yakin kau adalah seorang yang sabar, seorang yang cekal, seorang yang boleh membesarkan anak–anak kita kelak dengan penuh hikmah.

Ingatlah, jangan pernah dikau merasa keseorangan.. kerana aku disini masih setia menantimu.

Jodohku..

Seandainya siang sudah berlalu.. pejamkanlah matamu dengan buaian doa, dariku yang selalu kuhadiahkan untukmu.

Jodohku..

Ingatlah sayang, aku selalu ada untukmu..

Semoga kerinduanku ini akan terjawab, seiring berjalannya waktu.. dan semoga ALLAH yang maha Esa selalu membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya. Amin.

Saturday, 21 May 2011

Rahsia kebahagiaan

Di antara yang sudah hilang di sisi manusia ialah kebahagiaan
Orang kaya sudah hilang kebahagiaan, orang miskin pun sudah hilang kebahagiaan
Orang yang berilmu sudah tidak bahagia, orang jahil pun tidak bahagia
Yang ada nama dan glamour pun tidak bahagia, yang tidak ada pun tidak bahagia
Orang yang berpangkat pun sudah kehilangan kebahagiaan,
yang tidak ada pangkat pun sudah kehilangan kebahagiaan
Kerana kebahagiaan itu adalah makanan jiwa
Kalau tidak ada manusia menderita
Setiap insan berusaha mencari
Orang bandar pergi ke kampung mencari bahagia
Orang kampung pergi ke bandar mencari bahagia
Yang tinggal di tepi laut pergi ke darat mencari bahagia
Orang yang tinggal di darat pergi ke tepi laut mencari bahagia
Bahkan berbagai cara manusia mencari bahagia
Ada yang pergi ke hutan, ada yang pergi melihat air terjun
Ada yang pergi ke padang pasir, ada yang pergi ke tempat banyak bahaya
Bahkan ada orang yang mendaki gunung menurun lurah hingga terjatuh
Namun kebahagiaan tidak juga diperolehi
Manusia lupa kebahagiaan itu bukan benda luaran
Kebahagiaan itu ada di dalam diri manusia itu sendiri
Hidupkan hati rasa bertuhan, bangunkan jiwa rasa kehambaan
Cintakan Tuhan setiap ketika dan masa
Sembah, sanjung dan besarkan Dia setiap masa
Jadikan Tuhan kawan setia
Bawa Dia kemana-mana dan meminta dan bermanja-manjalah denganNya
Itulah dia rasa kebahagiaan setiap insan

Friday, 20 May 2011

Kebencian adalah satu pengubat

Dalam keadaan jalanraya yang sesak, mendengar radio mungkin menjadi satu sumber yang dapat menghilangkan kebosanan memandu.  Kebetulan sekali, lagu yang diputar oleh sebuah stesen retro cukup kena dengan apa yang ingin saya kongsikan hari ini.  Lagu lama dendangan Diana Nasution satu ketika dahulu cukup menjadi wadah untuk mereka yang sedang bercinta untuk saling merindui.  Kata Diana dalam lagunya “sakitnya hati ini namun aku rindu… bencinya hati ini tapi aku rindu.”


Kita hidup sebagai manusia pastinya tidak akan lari dari mempunyai perasaan benci.  Benci bukan semestinya kepada insan sahaja tetapi boleh jadi kepada perkara-perkara yang kita rasakan cukup membebankan.  Kita boleh jadi benci dengan kerja yang sedang kita lakukan namun kita masih melakukannya atas dasar keterpaksaan.  Saya menerima satu pesanan ringkas untuk tazkirah yang berbunyi ::“boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)


Kita seringkali melihat kebencian itu dari sudut negatif tanpa kita menyedari bahawa kebencian juga dapat membawa kita ke satu sudut yang cukup positif asalkan kita tahu caranya.  Kebencian menjadi perkara yang menjelekkan kerana kita yang menciptanya sebagai menjelekkan.  Secara jujurnya saya melihat kebencian juga merupakan penawar kepada jiwa seandainya kita tahu mengolahkannya.  Katakan kita membenci seseorang hinggakan kita tidak mampu mendengar namanya.  Apabila disebut sahaja namanya maka terbitlah rasa benci yang amat sangat hingga kita menjadi begitu beremosi.  Jika kita terus menerus melayan kebencian sepertimana ianya mahu dilayan maka pastilah ianya akan membawa kepada kerosakan. 
Sedangkan kebencian itu datang sebagai satu wadah pemberitahuan bagaimana ianya harus diperlakukan agar nilai kebencian itu menjadi satu nilai kecintaan.

Apabila kita membenci seseorang itu tanpa sedar sebenarnya Allah swt sedang melatih kita untuk mendalami rasa yang perlu kita singkirkan dalam hidup agar kita mampu hidup sesame insan dengan penuh kasih dan sayang.  Kita acapkali membenci seseorang itu kerana dirinya.  Kita jarang sekali membenci seseorang itu kerana Allah swt.  Nah… mungkin ada yang bertanya bagaimana mungkin kita membencinya kerana Allah swt.  Ianya adalah dengan membenci sikap yang dipanuti dan bukan diri seseorang itu.  Kita benci sikapnya dan dek kerana benci sikapnya itu maka kita terus berdoa kepada Allah swt agar dia diberikan pencerahan dan hidayah.  Kita tak putus-putus mendoakan perubahannya.  Manakala kebencian itu tidak langsung dimanifestasikan dengan perbuatan mahupun kata-kata yang kurang enak.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami yang mafhumnya barangsiapa mengutamakan kecintaan Allah atas kecintaan manusia maka Allah akan melindunginya dari beban gangguan manusia.  Ini cukup jelas menunujukkan bahawa yang perlu dalam kehidupan kita adalah kecintaan.  Pada satu sudut pula, kita tidak akan mengenal rasa cinta yang benar tanpa mengetahui apa ertinya benci.  Maka fahamilah bahawa apabila kita ada rasa benci maka ianya juga adalah penawar cinta yang bakal datang… cinta yang lebih dalam… cinta yang lebih kita fahami keberadaannya.

Cinta yang dalam terhasil dari putik cinta yang kecil dan kemudiannya dikembangkan hingga apabila sudah menjadi tahap matangnya, ianya lebih indah dari apa yang disangkakan.  Buktinya mudah, ramai juga diantara kita yang apabila datang kebencian terhadap sesuatu perkara lalu dia terus mengingati Allah swt.  Solat yang dahulunya terabai kita terjaga.  Doa yang dahulunya ala kadar kita penuh perasaan.  Maka dia sebenarnya sedang dijaga oleh Allah swt dari bebanan seandainya dia melepaskan semuanya kembali kepada Allah swt tanpa sedikit pun keluhan.  Jika dia benar-benar faham maka dia akan lebih banyak berterima kasih kepada rasa benci itu kerana sudah berjaya menukarkannya menjadi insan yang lebih bergantung kepada Allah swt.

Al Hakim meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi “Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah hendaklah dia mengamati bagaimana kedudukan Allah dalam dirinya. Sesungguhnya Allah menempatkan hambaNya dalam kedudukan sebagaimana dia menempatkan kedudukan Allah pada dirinya.”  Seandainya kita sentiasa bersama Allah swt dan hati ini tidak lari dari benar-benar mencintaiNya semata maka Allah swt pastinya akan menyayangi kita.  Apabila kita bersandar kepadaNya maka jangan pula kita meminta supaya ada balasan kepada mereka yang kita benci kerana balasan itu ada lambang ketidakikhlasan kita dengan Allah swt.  Janganlah kita berkata nista dan menyumpah seranah sedang kita sebenarnya sedang disayangi Allah swt.  Kita hanya perlu duduk bersamaNya dan menerima pemberian rasa itu dengan kenikmatan kerana dalam kebencian itu ada banyak penawar bagi mereka yang berani mengupasnya dari sudut yang lain.

Layanlah kebencian itu dengan Allah swt kerana kebencian itu akan akan mengikut kita mencintai Allah swt.  Hindarilah diri kita dari mengikut kebencian kerana jalan akhirnya adalah kemusnahan.  Kebencian itu datang kepada kita supaya kita mendidiknya pulang kepada Allah swt dan ia tidak pernah datang mengharapkan kita mengikutinya.  Semoga Allah swt merahmati kita dalam menjalani litar kehidupan ini.  Amiin.

Maafkanlah cinta

Hidup terlalu singkat untuk membenci. Memaafkan pasangan hidup kita seperti memaafkan diri sendiri! Kesalahannya yang besar sekalipun wajar dimaafkan apatah lagi yang sengaja diperbesar-besarkan oleh kita sendiri.

Tirulah sifat Al A'ffu (Maha Pemberi Maaf)  Allah SWT... yang terus-terusan memaafkan kesalahan hamba-Nya selagi kitam sudi bertaubat. Hanya dosa syirik, selain itu... pengampunan Allah tidak bertepi dan "bertapi" lagi.

Jadi siapakah kita yang tidak mahu memaafkan kesalahan suami atau isteri kita? Kita hanya manusia yang turut berdosa... Apakah kita terlalu suci untuk tidak memaafkan dosa orang lain? Sesungguhnya, manusia lain berhak mendapat kemaafan sesama manusia. Dan manusia yang paling berhak mendapatkan kemaafan itu tidak lain tidak bukan ialah isteri atau suami kita.

Kerana cinta Allah terus sudi memaafkan, dan kerana cinta jugalah kita seharusnya sudi memaafkan kesalahan pasangan kita hanya kerana mengharapkan kemaafan Allah. Ingatlah, kita mencintai mereka bukan kerana mereka mencintai kita, tetapi kerana perintah Allah agar mencintai mereka!

Katakan kepada diri, betapa sukar sekalipun, kau wajib memaafkan. Memang kadangkala ada tingkah lakunya, tutur katanya atau sikapnya yang terlalu menyakitkan hati... Ditahan-tahan rasa, ditutup-tutup mata, dipujuk-pujuk jiwa, tetapi kesalahan itu terbayang dan terkenang jua. Hendak melupakan? Ah, jauh sekali. Sekadar memaafkan pun begitu berat terasa di hati.
Bila datang perasaan semacam itu di hati mu... sedarlah ketika itu Allah menguji cinta mu! Allah bukan sahaja menguji cinta mu kepadanya, tetapi menguji cinta mu kepada-NYA..

Pada ketika itu terujilah cinta kita, apakah benar-benar cinta kerana Allah atau cinta hanya mengikut perasaan atau cinta nafsu? Memang, orang yang paling dapat membuat diri mu marah ialah orang yang paling kau cintai. Jadi bila kita diuji begini katakan pada diri... Oh, Tuhan Kau sedang mengajarku erti cinta dan sabar.
Jika benar cintakan dia kerana cintakan DIA (Allah), maka mudahlah kita mengorbankan perasaan marah. Justeru sesungguhnya cinta itu sentiasa mengatasi dan mendahului rasa marah. Jika cinta kalah oleh marah, itu menunjukkan cinta kita belum benar-benar cinta! Kita bukan cintakannya, tetapi hanya cintakan diri kita sendiri.

Kemaafan itu akan memberi ketenangan bukan sahaja untuk isteri atau suami mu tetapi buat hati mu sendiri. Percayalah, kebencian dan kemarahan kita terhadap seseorang (lebih-lebih lagi kepada orang yang kita cintai) adalah lebih menyeksa diri sendiri berbanding dia yang kita marahkan.
Kemarahan seumpama 'bom jangka' yang menunggu saat untuk meledak di dalam diri kita.Ia boleh menjelma menjadi satu penyakit cinta yang sangat menyakitkan. Nama penyakit itu ialah "benci tapi rindu".
Sekali lagi, untuk mendapat ketenangan dalam hidup... berilah kemaafan. Kata ahli psikologi, bila kita memaafkan barulah kita 'bebas' dari belenggu individu, peristiwa dan keadaan yang kita marahkan itu.
Selagi belum memaafkan, selagi itulah apa yang kita marahkan sentiasa melekat pada diri dan hati kita.Kemarahan itu adalah "api" dalam hati kita. Ia panas dan membahang dalam diri. Manakala kemaafan umpama salju dingin yang akan memadamkannya.

Justeru, memaafkan pasangan adalah tradisi atau "life style" orang-orang yang soleh. Sayidina Umar memaafkan isteri yang meleterinya. Sayidina Ali pernah memaafkan Siti Fatimah yang pernah mengguris perasaannya. Kita tentu ingin meneladani mereka bukan? Bermulalah dengan sesuatu yang mudah, maafkan orang yang hampir dengan kita. Siapa lagi, kalau bukan isteri atau suami?
Islam menuntut kita memaafkan musuh kita sekalipun... Apatah lagi memaafkan isteri atau suami sendiri. Ingat, kita tidak akan bahagia selagi orang di sisi kita tidak bahagia. Bahagia itu bukan dengan mendapat, tetapi dengan memberi. Bukan hanya memberi keperluan fizikal dan material tetapi keperluan jiwa dan emosi, itulah kemaafan. Dan hakikatnya suami atau isteri kita lebih berhak untuk mendapat kemaafan itu sebelum kita memaafkan orang lain!

Anehnya kita sukar memaafkan orang yang masih hidup. Kita lebih mudah memaafkan orang yang telah mati. Sedangkan kemaafan itu penting untuk orang yang nasuh hidup, bukan untuk orang yang telah mati.
Bayangkan, isteri atau suami kita tiba-tiba sahaja meninggal dunia dan kita tidak sempat memaafkannya, tenangkah hati kita ketika ditinggalkan oleh sidia buat selama-lamanya? Sedangkan masih ada yang "tidak selesai" antara hati-hati kita berdua?


Atau kita sendiri yang tiba-tiba meninggal dunia, bolehkah kita kembali dengan tenang sebelum memberi kemaafan kepada orang lain? Jangan bertangguh lagi, maafkanlah, kerana tanpa kemaafan itu kita akan diburu rasa bersalah sepanjang hayat sekiranya salah seorang kita pergi menghadap Ilahi dahulu.

Percayalah! Saya pernah mendengar cerita betapa ada seorang suami yang kematian isteri, yang hingga kini masih terseksa jiwanya akibat tidak memaafkan isterinya yang tiba-tiba mati dalam satu kemalangan yang tidak disangka-sangkanya. Mintalah kemaafan, dan berilah kemaafan, jika benar kita sedari mati itu datang tiba-tiba!

Telah berapa kali saya ulangi bahawa jika kita tidak maafkan orang lain, samalah dengan  tidak memaafkan diri sendiri. Hati kita akan lebih menderita kerana itu. Telah terbukti ramai penghuni rumah sakit jiwa adalah terdiri daripada mereka yang bakhil... Bakhil kerana harta? Bukan! Tetapi terlalu bakhil untuk memberi satu kemaafan. Jangan lokek untuk memberi maaf, jika tidak, hidup kita akan sentiasa diselubungi stres, murung dan resah walaupun mungkin tidak sampai dihantar ke rumah sakit jiwa.

Kekusutan fikiran bukan disebabkan oleh sakit urat saraf tetapi kerana emosi kehampaan, kekecewaan, kekhuatiran, kerisauan dan ketakutan akibat benci dan marahkan sesuatu, seseorang atau keadaan. Penyakit ini tidak dapat diubati oleh sebarang pil, antibodi ataupun vaksin... tetapi hanya oleh tindakan memaafkan orang lain. Memberi maaf itu adalah terapi dan penawar jiwa yang lara.
Seorang ahli falsafah, Plato pernah berkata,"kesalahan ahli perubatan ialah cuba mengubat tubuh badan tanpa mengubat fikiran. Sedangkan fikiran dan jasad adalah satu dan tidak harus dirawat berasingan." Insya-Allah, sekiranya penyakit jiwa dan fikiran diubati terlebih dahulu maka penyakit lahiriah akan dapat diubati dengan mudah. Siapa doktornya? Bukankah diri kita sendiri? Apakah ubatnya? Ya, sikap pemaaf.

Justeru antara adab tidur yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk diamalkan oleh kita ialah memaafkan kesalahan orang lain. Setelah membaca "4 Qul", doa tidur dan zikir-zikir yang lain, kita diminta memaafkan semua kesalahan orang lain pada hari itu. Dan "orang lain" yang paling dekat dan hampir dengan kita ialah teman tidur di sebelah... siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita.

Maafkanlah kesalahan pasangan kita sebelum episod hari itu berakhir. Jangan simpan dalam "fail" di hati sanubari kita. "Delete" segera sebelum ia bertukar menjadi virus yang akan merosakkan rasa cinta, sayang, kemesraan dan kerinduan antara kita suami isteri. Jangan lagi fikirkan "sepatutnya, dia tidak boleh buat begitu atau begini..." Selagi masih ada fikiran yang semacam itu, maka selagi itulah tidak akan ada rasa ingin memaafkan atau meminta maaf.


Siapa kita yang sepatutnya dilayan, dihormati dan dibelai mengikut jangkaan kita sendiri? Sebenarnya, jangkaan kita dalam satu-satu itulah yang menyebabkan berlakunya keretakan.
"Isteri ku sepatutnya bersikap begini terhadap ku. "
"Suami ku tidak sepatutnya bersikap begitu dengan ku."

Jangkaan-jangkaan inilah yang menimbulkan kekecewaan apabila ia tidak berlaku seperti yang kita jangkakan. Dan anehnya itulah yang sentiasa berlaku. Kenapa? Jawabnya mudah, dunia dan kehidupan tidak seperti yang kita jangkakan. Oleh itu  jangan menempah sakit jiwa dengan sering menjangkakan sesuatu yang tidak mampu  dan tidak sepatutnya dijangka. Sebaliknya, terima atau jangkalah sesuatu yang tidak dijangkakan!

Justeru, bila berlaku sesuatu yang tidak dijangkakan bersumber dari pasangan kita, maka sikap memaafkan adalah penawar yang paling melegakan. Oh, sepatutnya begitu, tetapi dia begini, tak apalah... aku maafkan. Aku akan terus mengingatkannya, mendidiknya dan mendoakannya. Semua itu kerana aku masih dan terus cintakannya. Bila ada maaf, itu petanda ada cinta. Tiada ungkapan, "tiada maaf bagi mu" selagi ada rasa cinta.

Kekadang ada yang terlalu sukar memaafkan pasangannya. Mereka ini sentiasa kesal, menyesal dan kecewa atas kesalahan, kekurangan dan kelemahan suami atau isterinya. Mereka yang diserang penyakit "benci tapi rindu" ini akan menyeksa diri sendiri. Kekadang isteri dimarahi, diherdik dan dicaci pada siang hari, namun pada malamnya dia akan tidur bersamanya lagi. Rasulullah SAW sangat membenci sikap suami yang begitu.
Mereka yang sukar memaafkan pasangan hidup akan terseksa sepanjang hidup. Hidup dalam kebencian, kesepian, kemurungan dan rasa bosan yang berpanjangan. Bila dekat timbul jemu, bila jauh timbul rindu.
Jadi maafkanlah selagi dia menjadi teman hidup mu. Petanda cinta mu akan ke syurga ialah rumah tangga mu di dunia menjadi tenang, damai dan harmoni. Apalagi yang boleh menyumbangkan ke arah itu kalau bukan kemaafan?

Kata ahli psikologi, "Tuhan boleh mengampunkan segala dosa kita, tetapi sistem saraf kita tidak." Maksudnya, sistem saraf tidak akan bertolak ansur dengan ketegangan dan kerisauan. Dan jauh lebih lama sebelum itu Rasulullah SAW telah mengingatkan, matilah kamu dengan marah mu!

Monday, 16 May 2011

ciri-ciri yang membuatkan seseorang rasa bahagia

Sudah menjadi sifat semula jadi manusia tidak boleh hidup bersendirian. Manusia sememangnya saliang berhubungan dan memerlukan antara satu sama lain untuk memenuhi keperluan hidup dan keperluan peribadi. Dalam menjalani kehidupan pula, semua manusia menginginkan kebahagiaan dan tidak sukakan kesengsaraan atau kesusahan.
Maka dalam perhubungan seharian, tentunya ada perkara yang boleh membuatkan kita rasa bahagia. Berikut diperturunkan beberapa perkara yang boleh membahagiakan perhubungan kita sesama manusia. Dalam hal ini, bentuk perhubungan adalah umum; boleh jadi pasangan, kawan, anak, ibu bapa atau sesiapa sahaja.

  1. Seseorang yang menyayangi kita.
  2. Seseorang yang menyintai kita.
  3. Seseorang yang boleh diajak berbicara.
  4. Seseorang yang menghormati kita.
  5. Seseorang yang menghargai apa yang ingin kita capai.
  6. Seseorang yang memahami mode kita.
  7. Seseorang yang boleh membantu kita dalam membuat keputusan.
  8. Seseorang yang merangsang cita-cita atau impian kita.
  9. Seseorang yang tertarik kepada kita.
  10. Seseorang yang boleh memberi keyakinan diri kepada kita.
  11. Seseorang yang berada di belakang kita semasa kita dalam kesusahan.
  12. Seseorang yang menerima kita seadanya.
  13. Seseorang yang mengagumi kebolehan kita.
  14. Seseorang yang membuatkan kita rasa berguna.
  15. Seseorang yang dapat mengubat kesunyian kita.
Oleh itu, dalam hubungan perkahwinan, setiap insan sudah tentu menginginkan setiap perkara tersebut daripada pasangannya. Dengan kata lain, sekiranya pasangan kita dapat memberikan perkara-perkara tersebut, sudah tentu kita akan rasa bahagia.

Saturday, 14 May 2011

Apa itu erti kebahagiaan?

Jika ada manusia yang berkata, alangkah bahagianya kalau aku tidak bahagia, maka sudah tentu dia tidak siuman lagi kerana bahagia itu merupakan fitrah semula jadi setiap manusia. Tidak ada manusia yang tidak inginkannya. Bahkan, apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan oleh manusia adalah untuk mencapai bahagia.
  • Bahagia itu relatif?
Malangnya, keinginan manusia untuk bahagia sering tidak kesampaian. Ini disebabkan ramai manusia tidak tahu apa makna bahagia sebenarnya dan mereka juga tidak tahu bagaimanakah caranya untuk mendapatkannya. Jika kita mencari sesuatu yang tidak diketahui dan dikenali, sudah pasti kita tidak akan menemuinya. Oleh itu, usaha mencari kebahagiaan itu mestilah bermula dengan mencari apa erti kebahagiaan itu terlebih dahulu.

Apakah erti bahagia? Ada yang beranggapan erti bahagia itu relatif. Ia berubah-ubah dan berbeza antara seorang individu dengan yang lain. Bagi yang sakit, sihat itu dirasakan bahagia. Tetapi apabila sudah sihat, kebahagiaan itu bukan pada kesihatan lagi. Sudah beralih kepada perkara yang lain lagi. Bagi golongan ini kebahagiaan itu adalah satu “moving target” yang tidak spesifik ertinya.
 
Ada pula golongan pesimis. Mereka beranggapan bahawa tidak ada bahagia di dunia ini. Hidup adalah untuk menderita. Manusia dilahirkan bersama tangisan, hidup bersama tangisan dan akan dihantar ke kubur dengan tangisan. Bahagia adalah satu utopia, ilusi atau angan-angan. Ia tidak ujud dalam realiti dan kenyataan.
  • Sumber dalaman atau luaran?
Sebelum mendapat jawapan tentang erti kebahagiaan yang sebenar, mesti dipastikan sumber kebahagiaan itu. Ia datang dari mana? Apakah bahagia itu datang dari luar ke dalam (outside-in) atau dari dalam ke luar (inside-out)?

Ramai yang merasakan bahawa bahagia itu bersumber dari faktor luaran. Ia bersumber daripada harta, kuasa, rupa, nama dan kelulusan yang dimiliki oleh seseorang. Golongan ini merasakan jika berjaya menjadi hartawan, negarawan, bangsawan, rupawan, kenamaan dan cendekiawan maka secara automatik bahagialah mereka.

Atas keyakinan itu ramai yang berhempas pulas dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki harta, kuasa dan lain-lain lagi. Kita tidak bahaskan mereka yang miskin, hodoh, tidak popular dan bodoh, lalu gagal merasakan bahagia tetapi mari kita tinjau apakah hidup para hartawan, rupawan, bangsawan, kenamaan dan cendekiawan itu bahagia?
  • Realiti hidup jutawan, rupawan dan selebriti.
Realitinya, sudah menjadi “rules of life” (sunatullah), manusia tidak mendapat semua yang diingininya. Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengelakkan diri daripada sesuatu yang tidak disenanginya. Hidup adalah satu ujian yang menimpa semua manusia, tidak kira kedudukan, harta dan pangkatnya. Firman Allah:
“Dijadikan mati dan hidup adalah untuk menguji manusia siapakah yang terbaik amalannya.” Al Mulk.

Si kaya mungkin memiliki harta yang berjuta, tetapi mana mungkin dia mengelakkan diri daripada sakit, tua dan mati? Inilah yang berlaku kepada Cristina Onasis pewaris kekayaan ayahnya Aristotle Onasis, yang mati pada usia yang masih muda walaupun memiliki harta yang berbilion dollar. Mereka yang rupawan, tidak boleh mengelakkan diri daripada cercaan. Madonna, Paris Hilton (sekadar menyebut berapa nama) pernah dikutuk akibat kelakuan buruk masing-masing. Lady Diana yang memiliki semua pakej kelebihan wanita idaman akhirnya mati dalam keadaan yang tragis dan menyedihkan sekali.

John Lenon tidak dapat mengelakkan diri daripada dibunuh walaupun dirinya dipuja oleh jutaan peminat. Elizabeth Taylor pula sedang membilang usia yang kian meragut kecantikan dan potongan badannya. Itu belum dikira lagi nasib malang yang menimpa negarawan dan bangsawan tersohor seperti Al Malik Farouk (Masir), Shah Iran (Iran), Ferdinand Marcos (Filipina), Louis XVI (Perancis), Tsar (Rusia) dan lain-lain lagi. Tegasnya, kesakitan, cercaan, dijatuhkan dan lain-lain ujian hidup telah menumpaskan ramai hartawan, rupawan, negarawan dan cendekiawan dalam perlumbaan mencari kebahagiaan.
  • Bukti hilangnya bahagia.
Apa buktinya, mereka hilang bahagia? Tidak payah kita berhujah menggunakan Al Quran dan Al Hadis, melalui paparan media massa sahaja sudah cukup menjadi bukti betapa tidak bahagianya mereka yang memiliki segala-galanya itu. Aneh, apabila selebriti dari Hollywood, yakni mereka yang memiliki rupa yang cantik, harta yang berbilion dolar, nama yang tersohor tetapi dilanda pelbagai masalah kronik. Senarai nama yang berkenaan cukup panjang.

Mereka yang terlibat dengan arak, rumah tangga cerai berai, dadah, jenayah, sakit jiwa dan bunuh diri ini sudah tentu tidak bahagia. Jika mereka bahagia dengan nama, harta dan rupa yang dimiliki tentulah mereka tidak akan terlibat dengan semua kekacauan jiwa dan kecelaruan peribadi itu. Tentu ada sesuatu yang “hilang” di tengah lambakan harta, rupa yang cantik dan nama yang popular itu.
  • Ujian hidup punca hilang bahagia?
Mari kita lihat persoalan ini lebih dekat. Apakah benar ujian hidup menghilangkan rasa bahagia dalam kehidupan ini? Apakah sakit, usia tua, cercaan manusia, kemiskinan, kegagalan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup menjadi sebab hilangnya bahagia? Jawabnya, tidak!

Jika kita beranggapan bahawa ujian hidup itu penyebab hilangnya bahagia maka kita sudah termasuk dalam golongan pesimis yang beranggapan tidak ada kebahagiaan di dunia. Mengapa begitu? Kerana hakikatnya hidup adalah untuk diuji. Itu adalah peraturan hidup yang tidak boleh dielakkan. Sekiranya benar itu penyebab hilangnya bahagia, maka tidak ada seorang pun manusia yang akan bahagia kerana semua manusia pasti diuji.
Atas dasar itu, ujian hidup bukan penyebab hilangnya bahagia. Sebagai perumpamaannya, jika air limau nipis diletakkan di atas tangan yang biasa, maka kita tidak akan berasa apa-apa. Sebaliknya, jika air limau itu dititiskan di atas tangan yang luka maka pedihnya akan terasa. Jadi apakah yang menyebabkan rasa pedih itu? Air limau itu kah atau tangan yang luka itu? Tentu jawapannya, luka di tangan itu.
  • Metafora air limau dan luka di tangan
Air limau itu adalah umpama ujian hidup, manakala tangan yang luka itu ialah hati yang sakit. Hati yang sakit ialah hati yang dipenuhi oleh sifat-sifat mazmumah seperti takbur, hasad dengki, marah, kecewa, putus asa, dendam, takut, cinta dunia, gila puji, tamak dan lain-lain lagi. Ujian hidup yang menimpa diri hakikatnya menimbulkan sahaja sifat mazmumah yang sedia bersarang di dalam hati. Bila diuji dengan cercaan manusia, timbullah rasa kecewa, marah atau dendam. Bila diuji dengan harta, muncullah sifat tamak, gila puji dan takbur.

Justeru, miskin, cercaan manusia dan lain-lain itu bukanlah penyebab hilang bahagia tetapi rasa kecewa, marah dan tidak sabar itulah yang menyebabkannya. Pendek kata, ujian hidup hakikatnya hanya menyerlahkan sahaja realiti hati yang sudah tidak bahagia lama sebelum ia menimpa seseorang.
Dengan segala hujah di atas terbuktilah bahawa pendapat yang mengatakan bahagia itu datang dari luar ke dalam adalah tertolak sama sekali. Ini kerana faktor “kesihatan” hati jelas lebih dominan dalam menentukan bahagia atau tidaknya seseorang berbanding segala faktor luaran. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kebahagiaan itu datang dari dalam ke luar – soal hati.
  • Inilah erti bahagia
Secara mudah kebahagiaan itu ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan. Inilah erti bahagia yang sebenar selaras petunjuk Allah di dalam Al Quran. Firman Allah:
“Ketahuilah dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang.” Al Ra’du 28.

Rasulullah S.A.W. juga telah bersabda:
” Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati. ” (riwayat Bukhari Muslim)

Rasulullah S.A.W bersabda lagi:
” Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati “
Kaya hati bermaksud hati yang tenang, lapang dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki – bersyukur dengan apa yang ada, sabar dengan apa yang tiada.

Oleh itu hati perlu dibersihkan serta dipulihara dan dipelihara “kesihatannya” agar lahir sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya. Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara “auto pilot”.

Cari kebahagiaan di hati sendiri

selagi kita bahagia, jiwa akan tenang, damai dan mendamaikan. kita mampu membuat keputusan dengan matang dan bijaksana. menguruskan rumah tangga dengan sebaik-baiknya, menjaga dan mendidik anak-anak dengan penuh jiwa dan raga, menjadi isteri terbaik untuk seorang suami dan menjadi ibu terunggul untuk zuriat tercinta.


memikirkan sahaja bahawa kita bahagia, fikiran menjadi lapang dan tidak berserabut. dada tidak sempit dan pernafasan lancar.
hakikat bahagia pula, tidak semestinya hanya apabila kita dapat apa yang kita mahu atau yang kita hajati sahaja, rasa bahagia ini mampu hadir walau kita dalam kemelut masalah yang bertimpa-timpa dan menjalani kehidupan yang teruk , jauh dari impian.
makna bahagia sebenarnya jauh lebih dalam dan besar dari semua itu.
walau kita mungkin andalusia, ibu tunggal, isteri monogami yang suaminya tidak bertanggung jawab atau isteri yang berpoligami, apatah lagi  isteri yang punya sebaik-baik suami dan anak-anak sekalipun, kita tetap mampu bahagia. dan bahagia itu bukan sekadar bahagia 1/10; 7:10 tetapi bahagia seratus persen.
bahagia yang menggetarkan jiwa. bahagia yang menusuk kalbu. bahagia yang membuatkan kita amat menghargai kehidupan., bahagia yang membuatkan kita menjadi hambaNYA yang bersyukur, (yang mana akan ditambahkan lagi rasa bahagia itu berkali-kali ganda), bahagia yang membuatkan kita merasa manisnya alam kehidupan, mampu melalui ujian dan cobaan hidup dengan senyuman ikhlas yang lahir jauh dari sudut hati.

kita bercakap tentang bahagia tulen. bahagia sebenar.
pokok persoalannya, bagaimana mahu diperolehi bahagia yang begitu?
mampukah bahagia seorang isteri yang sentiasa dikhianati suami tercinta, dilayani penuh kasar dan tidak dihargai segala pengorbanannya?
mampukah bahagia seorang ibu yang anak-anaknya lupa akan dirinya?
mampukan bahagia seorang insan yang sentiasa dirundung malang sejak kecil hingga dewasa; lepas dari mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya?
mampukah  bahagia seorang isteri yang dimadukan suaminya selepas dia memulakan perkahwinan dengan kosong dan setelah bertahun-tahun melayari jatuh bangun, pahit getir, susah senang , suka duka bahtera rumahtangga bersama-sama? tiba-tiba diduakan suaminya
mampkah bahagia seorang isteri yang suaminya kaki perempuan dan sentiasa bercinta di depan mata, kemudian mengaku insaf tapi tidak lama kemudian meneruskan kembali kecurangannya sedang makan pakai dan nafkah zahir batin si isteri sendiri terabai?
pelbagai lagi pola dan rentak kehidupan serta drama lakonan dunia yang perit, pedih dan sengsara, mampukah bahagia dalam kemelut dunia begini?

Ya! kita mampu . jawapannya mudah; bahagia itu terletak di hati kita sendiri bukan nya kerana orang lain dan corak kehidupan kita.
selagi kita mampu mengawal pemikiran kita untuk sentiasa tenang, sabar, ikhlas dan redho, selagi itulah kita akan mengecap bahagia.
bagaimana mahu mengawal pemikiran?
tanamkan hakikat bahawa ALLAH itu MAha Adil. setiap apa yang kita lalui adalah yang terbaik untuk kita. apa sahaja kebaikan atau keburukan akan tetap ada balasannya.
suami yang curang, menipu, lalu? mengapa kita mahu susah hati menderita mengenangkan sikapnya yang tidak menghargai diri kita sebagai isteri? pastinya Allah itu tidak menzalimi kita dengan memberi kita suami yang  begitu sedang wanita lain, sahabat karib kita sendiri dianugerahi suami yang pijak semutpun tak mati…
tentunya bukan hak kita untuk mempertikaikan taqdir itu.. sedang taqdir itu datang dariNYA.
tapi menjadi hak kita untuk redho, sabar , tenang dan ikhlas menerima keadaan diri kita yang sering ditipu dan dianiaya suami dengan tetap meneruskan kehidupan kita dengan penuh semangat dan tak sedikitpun merasa kudis.

menjadi hak kita juga untuk keluar dari keadaan itu dan menjalani kehidupan bersendirian sebagai janda atau ibu tunggal dengan tetap tersenyum ikhlas terhadap taqdir kita.
menjadi hak kita juga untuk berusaha menjinakkan kembali suami dan menerima seandainya belum termakbul doa kita melayari bahtera rumah tangga impian.

walau apa pilihan kita, kita adalah hamba pada Tuhan yang tidak pernah menganiaya hambaNYA. Dia sangat dekat, lebih dekat dari urat leher kita sendiri. Dia Maha Mendengar. Dia Maha Mengetahui.
yakinlah takkan dibiarkan kita tanpa pembelaan. kalau bukan terbela nasib kita di dunia yang fana, busuk dan sementara ini, PASTI seratus peratus PASTI, nasib kita akan terbela di dunia yang kekal abadi, penuh nikmat yang tidak akan ada penghujungnya nanti.

lalu? ahh… apalah sangat mendapat seorang suami yang pendengus, kasar pekertinya, tidak mengenang budi, lupa daratan, tak sedar rumah kata pergi kubur kata mari, dengan nikmat akhirat yang menanti.. ANDAI kita mampu bahagia dengan hakikat qada kita itu.

demi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, jiwa kita tenang seandainya kita redho, ikhlas dan sabar dengan apa jua qada kita. kita akan mengecapi rasa bahagia yang tak terucap, rasa damai yang tak tergambar dek kata-kata. hanya dengan meletakkan diri kita dalam alam kebahagiaan.

kemudiannya, kita dapati kehidupan kita terbetul dengan sendirinya… itulah keajaiban Ilahi.

Demi sebuah bahagia

Lazimnya, saya tidak suka berkongsi tips. Malah saya sering berkata, untuk menilai satu-satu ceramah itu berasas atau tidak, lihatlah kepada tips. Jika ceramahnya penuh tips, maka ia adalah kosong tidak bermakna.
Tips adalah buah. Manusia memang perlu kepada buah. Tetapi kita lebih membantu jika yang diberi adalah pokok yang menghasilkan buah.
Tips tidak mungkin dapat dilakukan, jika pokok dan akarnya tiada.

PETUA SENYUM UNTUK BAHAGIA

Mahu hidup bahagia, senyum setiap pagi.
Apakah manusia mampu senyum tanpa sebab?
Apakah manusia boleh melemparkan senyuman sejati jika tujuan senyumnya tidak dapat dikenal pasti.
Maka jika seseorang itu benar-benar mahu membahagiakan kehidupan seseorang, bantulah ia agar tersenyum sendiri. Senyum dari hati, yang bukan dibuat-buat tanpa erti.
Tetapi hari ini saya ingin berkongsi petua. Petua yang diajar oleh guru-guru saya di Fitrah Perkasa. Petua ini petua segera, untuk cepat mengecap bahagia.
Namanya “Ingat 2 Lupa 2″

INGAT 1

Ingatlah kebaikan orang kepada kita.
Setiap kebaikan yang orang lakukan kepada kita, ingat-ingatkan selalu. Ia menerbitkan rasa betapa bertuahnya diri sering menerima kebaikan itu. Namun dalam banyak-banyak pihak yang memberikan kebaikan, ingatlah kebaikan Pihak yang paling berjasa kepada kita iaitulah ALLAH.
Hitunglah betapa baiknya Allah kepada kita.
Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya?
Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini?

LUPA 1

Di samping mengingati kebaikan orang kepada kita, lupa-lupakanlah kebaikan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti.
“Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!” kata si sombong.
“Kan dulu aku pernah tolong engkau. Sekarang tibalah giliran untuk engkau menolong aku”, ungkit si dia.

mannwalaza.JPG

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Al-Baqarah: 264)

Dan jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya.
Segala-galanya terlalu halus, remeh dan kecil, jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya kepada diri ini.

INGAT 2

Setelah bercakap tentang kebaikan, ada seperkara yang perlu diingat selalu.
Ingat-ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada manusia. Kenang selalu kesilapan kita pada tutur kata dan tingkah laku, jangan mudah dipadam dan dibiarkan pergi tanpa ada pelajaran yang diambil darinya.
Kenangkan ia, ingatkan selalu.
Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.
Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan kepada sesiapa, dosa dan kejahatan kita terhadap Allah itulah yang paling melata, setiap detik dan masa.
Istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia.
Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya, dek satu ujian yang ditimpakan-Nya ke atas kita.
Ingat-ingatlah kekurangan diri ini, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.

LUPA 2

Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupa-lupakanlah ia.
Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya. Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa.
Orang yang dimarahi sudah pun menyambung hidup gembira hati, kita yang gagal memaafkan dia, terus terseksa mengheret dirinya ke dalam diri, ke sudut mana sekali pun kita pergi.
Deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.

MENGAPA PERLU MEMBERI MAAF

Mengapa harus kita segera menjadi pemaaf?
Kerana kitalah hamba yang mendambakan maaf dan ampun dari-Nya.
Kita hamba yang tak punya apa, sering berlaku dosa dan kurang pula tunduk taatnya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita.
Oh Allah, sebelum kulelapkan mata ini, ku maafkan isteriku atas kesilapan dan kekurangan dirinya. Ku maafkan setiap salah dan silap anak-anakku dan ahli keluargaku. Ku maafkan setiap manusia yang berkata buruk di depan dan di belakangku.
Semata-mata kerana aku dambakan ampunan-Mu.
Siapa aku untuk berdendam sesama hamba, kerana al-Muntaqim, hanyalah Engkau, Tuhan Yang Esa lagi Perkasa.
Maafkan aku, hamba yang berdosa.
Moga ada sinar bahagia, di hari muka.