Dan  sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa,  masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih  ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan  majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.
Hidup  ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan dan  impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta mempunyai  keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat dicapai.  Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan menjadi hak  kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahawa hidup  ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau  harus-harus yang lain.
Betapa  banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua itu  pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak  sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan  betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya  apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak  terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.
Apa  yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan atau  kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan milik  kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri kita  atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.
"Tiada  suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu  sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami  menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.  (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita  terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu  gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak  menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (Surah Al-Hadid: 22-23)
Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!
 
 
No comments:
Post a Comment
arigatO!