Hidup kita ini memang penuh dengan 
cabaran dan masalah. Setiap hari, masalah silih berganti. Selesai satu 
masalah, datang masalah yang  lain pula. Kadang-kadang, tak habis lagi 
satu masalah, kita ditimpa lagi dengan masalah. Begitulah rencam hidup 
kita.Ada yang ditimpa dengan ujian kesakitan.  Ada yang diuji dengan masalah keluarga. Ada yang dicabar kekuatannya  dengan masalah pelajaran. Begitulah rencam kehidupan. Apatah lagi  sekiranya kita telah memilih jalan perjuangan nabi Muhammad S.A.W. Jalan  yang tidak dijanjikan dengan hamparan permaidani merah, tidak jua  dijanjikan dengan kekayaan dunia. Jalan yang penuh onak dan duri. Setiap  detik akan diuji dan diuji dan diuji dan seterusnya diuji lagi dan  lagi…. Sehinggalah ke akhir hidup kita.
GHAZWATUL FIKR
Cabaran dunia kita sekarang amat  menuntut kita untuk menguatkan kaki-kaki kita supaya kekal dalam  perjuangan yang suci ini. Jihad yang kita dukungi bukanlah perkara yang  suka-suka, kalau kita mahu kita ambil dan tatkala kita tak mahu, kita  buangkan. Ghazwatul fikri yang dilancarkan merupakan lembaran baru  peperangan musuh Islam terhadap Islam.
Ulama-ulama telah menyatakan dalam  banyak kitab fiqh bahawa hukum jihad terbahagi kepada dua iaitu fardhu  kifayah dan fardhu ain. Hukum jihad adalah fardhu kifayah sekiranya  seruan jihad oleh ketua negara tidak dibuat kepada umum. Manakala ianya  menjadi fardhu ain sekiranya seruan jihad dibuat untuk semua. Ia  meliputi  keadaan sekiranya musuh Islam menceroboh negara Islam untuk  tujuan perang, sekiranya tentera Islam bertembung dengan tentera musuh  dan juga sekiranya ketua negara menyeru sesuatu kaum untuk keluar  berjihad.
Kita menyedari bahawa kitab-kitab fiqh  yang menceritakan mengenai jihad yang berbentuk fizikal adalah kerana  mereka menghadapi musuh dari aspek itu sahaja. Dan mereka mengistinbat  hukum fardhu ain atau fardhu kifayah berdasarkan keadaan tersebut. Jika  umat Islam menghadapi serangan dari musuh yang terang-terang dapat  dilihat dengan mata kepala dan hanya berada beberapa saf sahaja daripada  bumi Islam, maka semua ulama Islam mengatakan pada ketika itu jihad  sudah menjadi fardhu ain.
Kalau begitu rupanya sudah menjadi  fardhu ain, maka cubalah kita fikir bagaimanakah hukum jihad itu apabila  ideologi-ideologi yang bukan Islam telah masuk ke dalam negeri-negeri  Islam, apabila musuh-musuh Islam menukar taktik mereka dengan  melancarkan serangan pemikiran yang lebih bahaya daripada serangan  senjata yang telah menyesatkan umat Islam dalam aqidah mereka.
Kalau ancaman musuh yang dapat dilihat  secara zahir, maka yang akan mati hanyalah tubuh badan sahaja. Tetapi  kalau serangan dari segi pemikiran, yang akan mati ialah akidah kita.  Maka jihad menjadi lebih fardhu ain lagi daripada apa yang digambarkan  dalam kitab-kitab fiqh yang dikarang oleh ulama’-ulama’ Islam di zaman  silam.
Ya !!
Jihad itu fardhu ain. Tetapi caranya sekarang adalah berbeza (Tanpa menafikan jihad Qital).
KUANTITI YANG SEDIKIT
Sepanjang sirah perjuangan Rasulullah  SAW, umat Islam telah banyak menghadapi siri-siri peperangan. Jika  dilihat dari segi bilangan dalam kebanyakan perang, tentera Islam adalah  lebih sedikit berbanding bilangan tentera musuh.
Dalam peperangan Badar, tentera musuh 950 orang sedangkan tentera Islam 315 orang.
Dalam peperangan Uhud, tentera musuh 3 000 orang sedangkan tentera Islam hanya 700 orang.
Dalam peperangan Ahzab, tentera musuh 10 000 orang sedangkan tentera Islam hanya 3 000 orang.
Dalam peperangan Mu’tah, tentera musuh 200 000 orang sedangkan tentera Islam hanya 3 000 orang.
Semestinya sejarah ini kembali berulang.  Termasuklah kepada diri kita yang mewarisi perjuangan Islam dari  Rasulullah SAW. Cabaran bilangan pejuang dan pekerja Islam yang sedikit  sememangnya biasa di mana-mana tempat. Kalau penyokong kepada Islam,  mungkin ramai. Tetapi kuantiti pendokongnya, itulah yang masalah.
Namun, kuantiti yang sedikit bukanlah  alasan untuk kita lemah dan tidak majukan kaki untuk berjuang, kerana  kita sudah maklum bahawa kuantiti bukanlah syarat kemenangan Islam.  Kisah Tahlut dan Jalut di dalam surah Ali Imran memberi ibrah yang besar  kepada kita. Agungnya surah ini sehingga dapat memberi pengajaran bagi  setiap saat kehidupan pejuang. Kata tentera Thalut ketika melihat  tentera Jalut yang sungguh luar biasa bilangannya :
“Sudah berapa banyak pasukan yang kecil  (bilangannya) mengalahkan pasukan yang besar (bilangannya) dengan izin  Allah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”
Kuncinya adalah sabar. Sabarlah yang  mampu menguatkan kita untuk mengahadapi cabaran. Sabarlah jua yang telah  menguatkan tentera-tentera Thalut untuk mengalahkan tentera-tentera  Jalut. Sabar dalam jihad mempertahankan iman.
ISTIQAMAH
Dalam menghadapi segala cubaan dan  dugaan ini, sudah pasti ada pasang surutnya. Adakala kita gagah melawan  arus yang deras. Adakala kita tersungkur jatuh. Tatkala kita tersungkur  jatuh ketika menghadapi dugaan, ingatlah itu tidak penting. Walau  seratus kali kita tersungkur jatuh, apa yang penting ialah kita kembali  bangkit. Tiada masalah berapa kali kita jatuh, tetapi yang penting  berapa kali kita bangkit semula !! Ingatlah cabaran dan ujian membuatkan  kita kuat berTAHAN dan berTUHAN.
Motivasikan diri kita untuk terus  berjuang hingga ke akhir hayat. Moga istiqamah. Moga kita berada dalam  senarai pejuang yang menegakkan kalimah Allah.
Jangan tiba saat kita mati nanti, kita masih tidak berjuang dan menyumbang kepada perjuangan islam.
Jangan juga kita meminta “rehat” daripada berjuang, bimbang nanti kita mati dalam keadaan tidak berjuang.
Wahai pejuang, sabarlah dan kuatkanlah kesabaranmu.
Wahai pejuang, ketahuilah bahawa segala ujian adalah untuk memartabatkan dirimu.
Wahai pejuang, yakinlah bahawa akhirat itu pasti dan bahawa janji Allah itu benar-benar berlaku.
Wahai pejuang, yakinlah bahawa janji-Nya  adalah Jannah. Perkara indah yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak  pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di sanubari.
Dengan janji ini, bergembiralah wahai pejuang.
 
 
No comments:
Post a Comment
arigatO!