3 Sumber keyakinan diri yang telah
saya kongsikan itu ialah
- Kejayaan dan kenangan manis di masa lalu’
- Sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri
kita.
- Cara kita berfikir dan fokus apabila sesuatu
menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah mengingati sumber ketiga ini,
ingat 2 perkara
- Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang
kurang berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
- Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita
untuk terus berjaya, kita bandingkan diri
kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih
bersemangat daripada kita.
Insyaallah saya akan letakkan hasil tulisan ini di dalam
ruangan kompilasi tips dan petua dalam masa terdekat ini. Semoga perkongsian
ini dapat memberi manfaat kepada kita yang membaca dan yang mencubanya.
3 Sumber keyakinan
diri - Sumber 3.2
Bagaimanakah ibu bapa boleh gunakan sumber keyakinan diri
yang ketiga ini untuk membantu anak-anak mereka? Begini.
‘Belajar la betul-betul. Mak tengok anak jiran sebelah tu
rajin belajar, keputusan pun cemerlang. Bukan macam kau.’
‘Masa abang kau dulu, tak payah suruh, dia belajar
sendiri. Sebab tu dia boleh masuk universiti.’
‘Anak Pak Long kau semua cemerlang. Kenapa la anak-anak
abah ni tak boleh jadi macam tu’.
‘Asyik aku je yang tak pandai. Asyik aku je yang
bodoh. Orang lain semua pandai, semua bagus.’
Apabila anak-anak dapat mesej begini, semangat dan
keyakinan diri mereka akan terus jatuh. Dibimbangi mereka akan membesar dengan
pemikiran bahawa semua orang lain lebih baik daripada mereka.
Jadi, kalau mahu meningkatkan keyakinan diri anak-anak
untuk kecemerlangan, ada dua langkah. Semasa berbual dengannya
- Imbas kembali cerita-cerita di mana anak-anak kita
hebat, cemerlang, bijak dan yakin. Cerita dengan penuh keyakinan agar
anak-anak kita ingat semula tentang kisah itu semua. Kesannya, kita akan
lihat anak kita semakin bersemangat. Cara dia duduk juga akan berubah
sedikit seperti mahu kita terus bercerita. Teruskan bercerita dengan
ikhlas. (Ikhlas bermaksud tak nampak macam kita bercerita macam terpaksa
atau tak bersungguh-sungguh).
- Apabila wajah anak-anak kita dah nampak mula
bercahaya, mula berseri dan mula ceria, baru kita masukkan sedikit cerita
tentang orang lain yang cemerlang. Dalam keadaan ceria, anak-anak kita
akan lebih bersedia untuk menerima cerita-cerita tentang kehebatan orang
lain. Kemudian katakan kepada mereka, “Mak/abah rasa, anak-anak mak/abah
lebih hebat dari mereka semua ni. Kalau belajar betul-betul sikit, tambah
jadi rajin sikit, mesti tak ada orang lain boleh lawan. (Senyum dan kita
mesti percaya apa yang kita katakan).
Apa kata kita cuba teknik ini bila berpeluang. Jika kita
tidak cuba, kita pasti akan gunakan cara lama yang biasa kita gunakan. Jangan
risau jika tidak dapat buat dengan sempurna kerana setelah mencuba, kita akan
dapat beberapa idea baru bagaimana mahu melaksanakan teknik ini dengan lebih
berkesan. Untuk jangka masa panjang, kita akan mula meningkatkan tahap
keyakinan diri anak-anak kita sendiri tanpa bantuan orang lain. Selamat
mencuba.
Ya, benar, jika kita terlalu bandingkan diri dengan orang
yang kurang berjaya, kita akan gagal. Itulah sebabnya sumber ketiga keyakinan
diri ini mengatakan bahawa anda perlu ingat 2 perkara iaitu
- Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang
berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
- Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita
untuk terus berjaya, kita bandingkan diri
kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih
bersemangat daripada kita.
Namun, kita tidak sepatutnya berhenti di situ. Apabila
semangat dan keyakinan diri kita sudah meningkat sedikit akibat aktiviti
perkara pertama, kita perlu tingkatkan lagi kejayaan kita dengan membandingkan
diri kita dengan orang-orang yang lebih berjaya.
Jika kita sedang lemah semangat dan tidak yakin diri, ia
akan jadi lebih teruk jika kita bandingkan diri kita dengan orang-orang
berjaya. Ini kerana kita akan rasa semakin jauh ketinggalan di belakang. Jadi
apa kata kita naikkan dulu sedikit semangat kita. Kemudian, apabila ia sudah
meningkat
sedikit, kita pun sudah mula mampu hilangkan rasa sedih
dan kecewa akibat rasa tidak yakin diri tadi, barulah kita bandingkan diri kita
dengan orang-orang berjaya. Ini akan menambahkan dan meningkatkan lagi semangat
dan keyakinan diri kita sendiri.
Idea mengenai sumber keyakinan diri ketiga ini sebenarnya
datang apabila saya teringat kisah saya semasa di tingkatan lima. Ketika
belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah Klang, saya dikelilingi oleh pelajar-pelajar
cemerlang. Keputusan peperiksaan bulanan saya selalunya tidak sehebat
kawan-kawan saya yang lain. Ini membuat saya merasa kecil dengan kebolehan diri
saya terutamanya dalam bidang akademik. Lama-kelamaan, saya seolah-olah telah menerima
kenyataan bahawa saya tidak sehebat pelajar lain. Ini adalah satu perkara
yang tidak sihat untuk keyakinan diri.
Kemudian, beberapa bulan sebelum peperiksaan SPM, saya
pulang ke kampung dan mengambil peluang bermalam di rumah sahabat baik saya
daripada sekolah lama (SMKA Tok Jiring). Ketika bermalam di sana, selepas
membuat latihan dan sedikit ulangkaji, sahabat saya ini membuka cerita kisah
sekolah rendah kami (SK Tok Jiring). Sahabat saya ceritakan tentang ke mana
perginya 11 orang pelajar yang berjaya mendapat 5A dulu. Masing-masing ada
cerita kejayaan masing-masing. Semasa dia bercerita, saya mula sedar
rupa-rupanya saya juga termasuk dalam cerita tersebut kerana saya adalah salah
seorang daripada 11 pelajar tadi. Saya juga mula sedar yang saya sebenarnya datang
dari kalangan pelajar cemerlang. Lebih hebat lagi, saya mula sedar yang kalau
dulu saya boleh cemerlang, kenapa sekarang tidak boleh cemerlang?
Cetusan idea ini terus meningkatkan semangat diri saya
untuk bersedia menghadapi peperiksaan SPM pada tahun itu. Sejak hari tersebut,
apabila saya lihat sahabat lain yang cemerlang di KISAS, saya akan kenang
kembali bagaimana saya cemerlang suatu masa dahulu. Dalam masa yang sama, saya
tekadkan azam untuk capai kejayaan seperti beberapa pelajar cemerlang di dalam kelas
saya dan kelas lain. Dua perkara ini berjaya mengekalkan semangat dan keyakinan
diri saya hingga hari peperiksaan sebenar.
Saya percaya anda boleh gunakan pendekatan ini. Saya juga
percaya bahawa pendekatan ini boleh digunakan oleh ibu bapa untuk meningkatkan
semangat anak-anak. Bagaimana ye? Kita tunggu posting seterusnya.
3 Sumber keyakinan diri - Sumber 3
Sumber keyakinan diri yang ketiga ialah cara kita
berfikir dan fokus apabila sesuatu menggugat keyakinan diri kita. Untuk mudah
mengingati sumber ketiga ini, ingat 2 perkara
- Apabila kita rasa rendah diri dan tidak yakin, bandingkan diri kita kepada orang lain yang kurang
berjaya dan yang selalu kalah dengan pencapaian diri kita.
- Apabila kita mahu meningkatkan semangat diri kita
untuk terus berjaya, kita bandingkan diri
kita dengan orang lain yang lebih hebat, lebih berjaya dan lebih
bersemangat daripada kita.
Begitu juga dengan keyakinan diri, jika kita rasa lemah
semangat dan hilang keyakinan diri, ingat kembali kelebihan diri kita dan
bandingkan dengan orang lain yang tidak mempunyai kelebihan tersebut. Ini akan
mengangkat semangat kita kembali. Saya banyak kali bertemu pelajar di sekolah
berasrama penuh dan pelajar diperingkat kolej dan universiti yang mengadu lemah
semangat dan tidak ada keyakinan diri. Mereka rasa mereka tidak pandai dan
tidak kurang potensi untuk berjaya.
Untuk hari ini, apa kata jika anda merasa rendah diri dan
tidak berkebolehan, bandingkan diri anda dengan seseorang yang anda tahu anda
lebih hebat daripadanya. Jika anda rasa tidak pandai, apa kata bandingkan diri
anda dengan seseorang yang mungkin jauh lebih tidak
pandai. Aktivti mudah ini sahaja akan meningkatkan tahap keyakinan diri anda.
Saya faham mungkin ada antara anda yang terfikir bahawa,
kalau kita asyik bandingkan diri kita dengan orang kurang berjaya, sampai bila
kita akan berubah? Bukankah ia akan menyebabkan kita selesa dan tidak mahu
berusaha kerana sangka kita sudah hebat? Bukankah ia akan menimbulkan rasa
sombong, bangga diri dan bongkak?
Jika anda terfikit begitu, tahniah. Ia menunjukkan anda
benar-benar faham apa yang saya sampaikan di dalam posting ini. Saya akan
menjawab persoalan itu dalam posting seterusnya dengan menerangkan tentang
perkara kedua (di atas).
Fri 20 Jun 2008
Sedarkah anda bahawa apabila kita merasa rendah diri,
kita akan terlupa sebenarnya ada ramai orang yang menyokong kita dan ada ramai
orang yang sebenarnya kagum dengan kehebatan kita.
Kita perlu tahu, kita mungkin tidak akan hebat dalam
semua bidang. Takkanlah kita nak buat semua perkara di dunia ini. Perkara yang
kita tak berapa pandai, biarkan orang lain yang buat. Bagi saya sendiri, saya
rasa saya yakin dan cekap dalam teknik belajar. Tetapi bila saya balik ke rumah
dan ada kerosakan elektrik, saya angkat tangan (menyerah kalah) dan
panggil juru elektrik untuk membaikinya. Perlukah saya rasa rendah diri apabila
juru elektrik itu
datang ke rumah saya? Perlukan saya bersedih kerana saya
tidak pandai membaiki kerosakan itu sendiri? Tentu tidak bukan?
Mesejnya di sini ialah, kita ada kelebihan dan kekuatan
kita tersendiri. Jangan biarkan kekuatan orang lain membuat kita rasa rendah
diri. Jadi, setiap kali kita rasa rendah diri apabila melihat kehebatan orang
lain, fikirkan tentang kehebatan kita sendiri. Tetapi dalam masa yang sama,
buat keputusan sama ada kita mahu miliki kehebatan seperti orang tadi atau
tidak. Contohnya, jika ada kawan pandai main catur dan kita tidak, jangan rasa
rendah diri dan fikirkan tentang satu perkara di mana kita lebih hebat daripada
kawan tadi. Kemudian, fikirkan, adakah kita mahu jadi pandai main catur? Kalau
mahu, fikirkan begini, ‘kalau aku belajar betul-betul permainan ni, aku pun
akan jadi sehebat dia’. Insyaallah perasaan rendah diri itu tidak akan
mengganggu.
Selamat meningkatkan keyakinan diri.
Salah satu cara terbaik untuk melihat kekuatan diri kita
ialah dengan mendapatkan sokongan daripada orang-orang yang mengenali diri kita
seperti keluarga atau sahabat karib. Keluarga selalunya adalah orang-orang yang
selalu percayakan kebolehan dan kekuatan diri kita. Namun, jika mereka tidak
begitu, cari orang lain yang boleh menyokong kita.
Menyokong bukan bermaksud orang tersebut sentiasa
mengatakan kita hebat. Ada masanya orang yang menyokong kita ini akan memberi
komen terhadap kelemahan diri kita. Namun, kita pastu tahu bahawa komen itu
adalah untuk lebih memajukan diri kita lagi. Jadi jangan ambil hati atau
bersedih terhadap komen membina daripada orang yang menyokong kita ini.
Hari ini, apa kata anda senaraikan orang-orang yang anda
rasa selalu menyokong anda. Senaraikan nama-nama orang yang anda rasa setiap
kali anda mahu mencuba sesuatu, anda akan rasa lebih bersemangat apabila telah
berbincang dengan orang-orang ini. Selamat menulis.
3 Sumber keyakinan diri - Sumber 1.3
Jika kita benar-benar mahu meningkatkan keyakinan diri
untuk melakukan apa sahaja, ada beberapa perkara yang harus kita lakukan
berdasarkan tips sumber pertama keyakinan diri ini. Sebelum itu, bayangkan diri
kita dalam satu situasi yang selalu membuat kita rasa tidak yakin dan lemah
semangat. Contohnya, untuk pelajar, mungkin situasi di mana mereka perlu
belajar subjek-subjek yang dikatakan sukar. Bagi mahasiswa dan mahasiswi,
mungkin mereka tidak yakin semasa hendak membentangkan
hasil kajian mereka di depan pelajar lain dan juga pensyarah. Bagi
pekerja,
mungkin mereka tidak yakin untuk berucap atau meluahkan
idea mereka di hadapan orang lain terutamanya orang yang lebih berpangkat.
Langkah pertama, kita patut sedar bahawa rasa berdebar diikuti degupan jantung yang begitu
kencang adalah perkara biasa. Jangan
merungut dan berharap agar kita tidak rasa berdebar.
Jika anda tanya saya, saya akan kata bahawa rasa berdebar itu boleh membantu
kerana ia sebenarnya akan membuat anda lebih berhati-hati dan peka.
Langkah kedua, jika rasa
berdebar membuat anda tidak boleh berfikir dengan baik, lakukan dua perkara ini. Satu, tarik
nafas sedalam mungkin dan tahan selama beberapa saat. Jangan fikir apa-apa. Lepaskan nafas
itu dengan gaya orang merasa lega. (Boleh bayangkan orang rasa lega lepaskan
nafas bagaimana?). Kedua, senyum dan bayangkan/imaginasikan anda telah berjaya
lakukan apa yang anda mahu lakukan dengan begitu baik sekali. Perkara
ini belum berlaku tetapi ia adalah sumber keyakinan diri yang anda cipta
sendiri di dalam minda. Fokuskan minda pada imaginasi ini.
Langkah terakhir, cuba ingat gaya seseorang yang kelihatan yakin dan
bersemangat. Ingat gaya
mereka itu dan tiru gaya tersebut. Tiru juga bagaimana nada suara yang mereka
gunakan. Jangan risau jika ia tidak menjadi 100% kerana ia tidak
perlu. Maksud saya, tidak perlu jadi 100% untuk anda jadi yakin dan
bersemangat.
Ini adalah contoh amalan untuk meningkatkan keyakinan
diri menggunakan sumber keyakinan diri pertama. Kejayaan teknik ini bergantung kepada usaha dan cubaan
anda. Jika selama ini anda sentiasa bermasalah dengan keyakinan diri,
tidak ada ruginya kalau anda mencuba 3 langkah mudah ini kan?
Selamat mencuba.
Apabila kita merasa tidak yakin diri atau lemah semangat,
kadangkala agak sukar untuk kita mengimbas kembali saat-saat gembira atau
saat-saat di zaman kegemilangan kita di masa lepas. Ini kerana fikiran kita
terlalu tertumpu kepada situasi sekarang dan kita seolah-olah tidak mampu
melepaskan diri. Ini juga selalu menyebabkan kita merungut yang kita tidak ada
saat-saat gembira atau saat-saat gemilang di masa lepas. Saya percaya ini tidak
benar.
Kenangan manis atau saat kegemilangan di masa lalu
sebenarnya hanyalah satu imej yang dimainkan di dalam minda kita. Apabila kita
teringat kenangan yang indah, kita kadang-kadang tersenyum dan ketawa sendirian
walaupun itu tidak berlaku sekarang. Apa yang perlu kita tahu ialah minda
kita sebenarnya tidak boleh bezakan sama ada apa yang kita kenang itu perkara
yang benar atau rekaan imaginasi sahaja. Maksud saya, bila
kita cipta/reka satu kenangan kejayaan di masa lepas di dalam minda,
minda kita tidak tahu yang ia hanyalah satu imaginasi dan tidak pernah berlaku.
Jadi, walaupun ia hanya imaginasi, minda kita boleh memberi arahan kepada tubuh
kita untuk ketawa, senyum atau menangis disebabkan imaginasi itu. Hebat bukan?
Ini bermakna, apabila kita bayangkan yang kita seorang yang hebat dan petah
berkata-kata di masa lepas, minda kita akan beri arahan kepada seluruh tubuh
kita agar berkelakuan, bergerak, berkata-kata seperti seorang yang betul-betul
hebat dan petah berkata-kata. Kesannya kita akan menjadi yakin dan benar-benar
percaya kita boleh menjadi hebat dan petah berkata-kata. Namun kita
perlu ingat, yakin dan boleh buat adalah dua perkara berbeza. Ada orang yakin
untuk bercakap dikhalayak ramai tetapi tidak boleh bercakap dengan baik. Ada
orang yakin boleh menendang bola tetapi menendang seperti kayu memukul bola. Keyakinan perlu
diikuti latihan susulan. Apabila kita yakin dan berlatih, kta lebih
mudah menguasai sesuatu ilmu.
Jadi hari ini, fikirkan apa kenangan kehebatan di masa
lepas yang ingin anda cipta atau reka? Keyakinan
diri untuk apa yang anda mahukan. Seterusnya nanti saya akan terangkan
apa yang perlu dilakukan bagi melatih keyakinan diri yang baru menggunakan imaginasi
kejayaan di masa lepas ini.
Selamat mencuba.
Sudahkah anda senaraikan sekurang-kurangnya 5 kejayaan
atau kenangan manis anda di masa lalu? Jika sudah, bagus.
Anda ternyata bersungguh-sungguh mahu meningkatkan tahap keyakinan
diri anda.
Semasa mengimbas kenangan itu juga, cuba rasakan
betapa keyakinan diri anda sangat tinggi ketika mengecapi
kejayaan itu. Contohnya, ketika anda berjaya menjadi pelajar
cemerlang dengan mendapat keputusan yang sangat baik di dalam peperiksaan dulu,
apakah yang anda rasa? Gembira? Teruja? Yakin? Hebat?
Teruskan berada di dalam perasaan itu semua buat
seketika. Kemudian, dalam masa yang sama, cuba fikir begini, ‘kalau dulu boleh
berjaya, maknanya aku pun orang yang hebat. Kalau dulu boleh berjaya, sekarang
pun mesti sama boleh berjaya juga!’
Apa yang berlaku apabila anda lakukan aktiviti ini?
Sebenarnya, apabila anda mengimbas kenangan kejayaan ini, anda sedang cuba
mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Dalam satu masa, manusia hanya
boleh meletakkan satu imej sahaja di dalam minda mereka untuk difokuskan.
Maksudnya, jika anda sedang fokus kepada kegagalan lepas, imej kegagalan
akan memenuhi minda anda. Jadi, imej kejayaan tidak akan berada di situ.
Akibatnya, anda jadi resah, gelisah, bimbang setiap masa dan hilang keyakinan
diri.
Sama juga, apabila anda kekalkan imej kejayaan, ia
akan memenuhi minda anda dan imej kegagalan tidak akan ada di situ. Hasilnya,
anda rasa lebih tenang, ceria dan yakin dengan kebolehan diri anda.
Seterusnya, saya akan terangkan apa yang boleh anda
lakukan jika anda tidak ada banyak kenangan manis atau kejayaan di masa lepas.
Sudahkah anda menjawab soalan saya yang lepas iaitu
“Biasanya, apabila anda merasa rendah diri atau hilang keyakinan diri, apa yang anda
lakukan untuk menaikkan semula semangat dan keyakinan diri anda?”
Adakah anda pernah mengecap apa-apa kejayaan (walaupun
kecil) di masa lalu? Pernahkah anda menang apa-apa pertandingan, mendapat
apa-apa anugerah atau dihadiahkan dengan sesuatu yang istimewa? Jika pernah
(saya percaya tentu anda pernah ada pengalaman sebegini), anda boleh gunakannya
sebagai sumber keyakinan diri.
Menurut pemerhatian saya, masalah utama orang-orang atau
pelajar yang tidak yakin diri ialah mereka terlalu fokuskan minda mereka kepada
kelemahan diri mereka. Mereka sentiasa terlihat akan kelemahan diri mereka
setiap hari dan setiap masa. Apabila mereka lihat kecemerlangan pelajar lain,
mereka rasa mereka tidak cemerlang. Apabila mereka melihat kehebatan orang
lain, mereka terlupa akan kehebatan mereka.
Jadi, jika anda bersungguh-sungguh untuk meningkatkan
tahap keyakinan diri anda, apa kata hari ini anda senaraikan sekurang-kurangnya
5 kejayaan atau kenangan manis (lebih banyak lebih baik) anda di masa lalu
yang bisa membuat anda rasa gembira, seronok dan yakin dengan kebolehan diri
anda. Setelah anda senaraikan, cuba imbas kembali saat itu, ingat kenangan itu
sejelas-jelasnya dan rasakan apa-apa perubahan keyakinan di dalam diri anda.
Selamat mencuba.
Bagi saya, keyakinan diri
adalah sesuatu yang amat-amat berharga. Tanpa
keyakinan diri, seorang yang berilmu tidak akan dapat mengamalkan ilmunya.
Tanpa keyakinan diri, seorang yang gagah tidak akan mampu menggunakan
kekuatannya. Tanpa keyakinan diri, seorang yang
hebat tidak akan mampu menyerlahkan kehebatan dirinya.
Banyak sebab mengapa kita boleh mengalami keadaan begitu.
Namun, dalam posting kali ini, saya tidak berminat untuk menceritakan itu semua
kerana saya percaya anda semua pasti sudah tahu sebab-sebabnya. Apa yang ingin
saya kongsikan ialah di saat kita merasa lemah dan tidak yakin diri, dari manakah kita boleh dapatkan setitik atau seteguk
keyakinan diri agar kita kembali bertenaga untuk meneruskan cabaran dan
rintangan hidup? Di manakah letaknya sumber utama kekuatan dan keyakinan
diri kita?
Untuk menjadikan posting ini lebih bermakna dan lebih
anda ingati, apa kata anda fikirkan dulu hari ini tentang soalan ini. Biasanya,
apabila anda merasa rendah diri atau hilang keyakinan diri, apa yang anda
lakukan untuk menaikkan semula semangat dan keyakinan diri anda?
No comments:
Post a Comment
arigatO!