Pengikut setia

Friday 26 August 2011

Tanda kehidupan ngeri

DARJAH 3

“Awak duduk dalam bilik ini. Tak perlu pergi ke kelas hari ini, pertandingan sudah nak dekat. Cepat habiskan surah hafazan awak”, pinta Ustaz Saofi kepadaku.

Bilik dikunci. Aku memandang liar di segenap penjuru bilik sambil memegang erat Al-quran. Di satu sudut terbujur sebentuk tubuh lelaki berpakaian pengawas dan bersongkok. Aku mengamati lagaknya mengahafal surah.

Begitu tekun sekali sehingga tidak sedar akan kehadiranku.
  
“Assalamualaikum Abang Saufi. Saya Na’imah dari darjah 3 Merah. Abang ni ketua pengawas kan? Dah lama duduk dalam bilik ini?” aku bertanya dengan bersungguh-sungguh. Alunan suara Abang Saufi menghafal membelah kesunyian bilik rehat itu menenangkan jiwa yang mendengar.
“Ye dik. Awak masuk pertandingan hafazan juga ke? Dah banyak menghafal? Abang lagi 1 surah je”, dia memandang sambil mengukir senyuman. Aku tidak terasa apa-apa melainkan 1001 persoalan yang banyak bermain di kotak minda.
“Saya dah habis menghafal 5 surah cuma Surah Al-ghosyiyyah saya tak lancar lagilah abang”.
“oooo….begitu. Surah tu abang dah hafal. Nak abang tolong awak perdengarkan?” tanya Abang Saufi sambil bergerak ke depan menjadikan jarak kami hampir 1 meter setengah.
“eh! Tak apalah abang. Susahkan sahaja. Nanti Ustaz Saofi boleh tolong saya. Abang teruskan sahajalah hafalan abang ye”.


Diam. Dia sekali lagi melemparkan sebuah senyuman dan meneruskan hafalan. Kali ini volume suaranya direndahkan, barangkali tidak mahu aku terganggu.

Hari itu aku lalui dengan perasaan yang masih terkejut berbaur malu. Sejak ustazah Fauziah melamarku untuk memasuki pertandingan hafazan surah lazim peringkat sekolah rendah, aku mencari jawapan kenapa dia memilihku. 


keliru aku!
Walaupun aku jenis nakal selalu berbuat bising di dalam kelas malah seringkali diketuk dengan pembaris panjang, tapi matapelajaran yang paling aku suka ialah Pendidikan Agama Islam. Sejak darjah 1 lagi aku sudah pandai membaca jawi hasil didikan ummiku dan abi yang tegas orangnya.

Usiaku yang masih muda menjadikan aku bertambah malu dan rendah diri menghafal surah bersama senior. Ketua pengawas pula itu. Nasib baik dia seorang pemurah senyuman dan tidak garang.

 Hari pertandingan aku lalui dengan perasaan gelisah, pengalaman kalah bertanding mengajar aku untuk tidak kenal erti kalah dan sekali lagi aku memasuki pertandingan hafazan ketika aku darjah 5. Juga bukan rezeki buatku…





TINGKATAN 3

Pagi itu aku bertandang keseorangan ke rumah Ustazah Hendon. Memang aku suka sekali bertandang ke rumahnya berbincang tentang permasalahan pelajar memandangkan tugas aku sebagai pengawas asrama dan timbalan pengerusi surau.

“Na’imah, ustazah nak tanya ni. Awak berminat tak untuk memasuki pertandingan hafazan Al-Qur’an bulan Mac ini? Surah dia tak banyak pun ada 10” tanya Ustazah Hendon kepadaku. 
“Saya tak pandai menghafal lah ustazah. Kak Aisyah kan ada, saya rasa dia lebih layak daripada saya. Tahun lepas dia ada masuk juga ustazah”, cepat-cepat aku menolak tawaran kilat ustazah. Tak mahu aku masuk, sudah sekian lama aku meninggalkan arena dunia hafazan. Otak pun jadi beku.
“Kak Aisyah kamu tak mahu. Tak apalah bagi peluang pada junior. Hari tu, ustazah ada dengar kamu baca surah as-sajjadah dan al-insan dalam solat. InsyaAllah Na’imah boleh”.
“Eh, surah tu saya hafal waktu saya bersekolah agama dulu time tingkatan 1, dah lama tu ustazah. Itu pun surah wajib kena hafal ustazah”.
“Kamu kan tak lama lagi mahu PMR. Bukankah molek kamu menghafal ayat-ayat Allah, bertambah mudah kamu menghafal ilmu-ilmuNya”, pujuk ustazah sambil memegang erat bahuku.

Aku terkesima. Hati aku mudah menjadi cair dengan kata-kata ketua felo kami ini. Ayatnya bak sembilu begitu cepat menusuk qalbuku. Ditambah lagi tahun ini aku bertekad untuk mencapai 8A dalam PMR untuk aku hadiahkan buat arwah abang aku yang baru sahaja beberapa bulan pergi.

“Baiklah ustazah. Saya boleh masuk tapi saya perlukan bimbingan daripada ustazah. Saya tak mahu kecewakan sesiapa”.



Dan sekali lagi sejarah hidupku tercoret warna-warna pelangi. Pengalaman aku bertanding dan berentap dengan sekolah agama lain banyak mentarbiyyah diriku. Rezeki masih lagi bukan dalam genggamanku, aku kalah dengan ruang panas 5 markah..aduhai..aku pasrah.

Walaupun aku masih baru di sekolah MGHS (Malacca Girl High School) tersebut namun aku cepat menyesuaikan diri. Langkah kakiku sekejap cuma, aku terus menapak di MRSM Pontian sejurus keputusan PMR ku diumumkan. Dan alhamdulillah aku berjaya menunaikan janji.






TINGKATAN 5

Putaran hidup menemukan aku sekali lagi di medan Hafazan Al-qur’an. Kali ini aku sendiri dengan rela hati menawar diri untuk bertanding dengan niat yang sama. Terkurungnya aku di bilik rehat asrama berhari-hari ditemani adik SA (secret admirer). 

Memang budaya sekolah tu ber”SA”. Aku sudah lupa namanya. Tapi paling aku ingat ketika dia menyelitkan surat di bawah bantal aku bersama coklat Cadbury. dan dalam masa yang sama terdapat surat adik SA yang lain. Kecewa dia. Berhari aku memujuknya. Nasib baik aku pandai mengayat.

Bila bercakap soal SA. Aku geli ber”SA” sebenarnya, aku tak pasti kenapa sejak aku darjah 4, 5 dan tingkatan 1, berhelai-helai surat semerbak bunga kasturi berserta hadiah dengan pelbagai versi meminangku sebagai adik angkat mereka. Bukan aku jual mahal, tapi aku empati dan malu. 

Natijahnya, bila bertembung dengan kakak angkat, aku menjadi malu yang teramat sangat dan berpatah langkah menyorokkan muka. Pernah aku terhantuk tembok asrama semata-mata lari dari bertembung kakak angkat di kawasan asrama. Lalu tepi kelas dia pun aku cuba elakkan. Takpun tutup muka dengan buku atau dengan kain tudung sambil berlari anak.

Dia beri aku kuih, aku terpaksa membalas dengan biskut. Dia beri aku bunga, aku terpaksa  membalas dengan frame. Dia beri aku buku nota, aku terpaksa membalas dengan pen warna-warni. Paling aku tak suka, meja tulis aku dijadikan tempat surat berkenalan oleh budak nakal. Setiap hari pasti ada surat di dalam laci meja aku. Pasal tu aku kantoi waktu "spot check". Berkali aku menafikan aku tidak berpacaran namun suaraku amat kecil berbanding guru displin. Blacklist sudah namaku…Semua surat kakak angkat dan SA-SA dirampas…


Hari yang ditunggu….

Menjelang hari pertandingan, debaran semakin kencang. Masakan tidak sekolah aku menjadi tuan rumah dan Guru Besar meletakkan sepenuh harapan pada wakil sekolah. Aku menurunkan tahap ke’stress’an dengan menelan beberapa biji capsule Cadbury yang diberi oleh si dia.

“Pandai sungguh dia melayan aku”, bisik hati kecil ku.

Hari tu aku ponteng kelas lagi. Seawal pagi lagi aku telah “mencium sejadah” mencari berkat. Mulut terkumat-kamit hingga aku lelah. Tatkala giliranku tiba, aku perlu membaca 4 surah daripada 10 surah yang aku hafal. Di hadapan aku seluruh warga sekolah memandang dengan muka seposen. Aku berimaginasi mereka adalah khayalanku. Memang situasi pada ketika itu amat mendebarkan.

Selesai sudah,  aku menundukkan kepala 90 darjah, malu kerna aku kurang lancar dalam pembacaan. Aku memandang para peserta lain dari sekolah agama yang hebat-hebat belaka. 

Gahnya nama sekolah mereka berbanding nama sekolah aku. Gahnya peserta lain dari aliran agama, hati mereka amat dekat dengan Al-quran. Cuma aku? Aku hanya budak aliran sains, hati aku bersaratkan dunia semata-mata. Aku pasrah kalah.

Aku berkunjung ke dewan lain tempat berlangsungnya pertandingan syarahan agama. Mata aku ligat mencari batang tubuh kawan aku, Sarah. Aku harap dia lagi hebat daripada aku dan menang bertanding. Kalau ikutkan hati, aku lagi minat masuk syarahan agama berbanding hafazan. Sejak aku darjah 3 hinggalah kini, dunia pidato, debat, bahas dan syarahan agama amat sebati dengan darah daging aku. Tapi inilah rezekiku.

Tepat pukul 12 tengahari, aku bersama kawan dan peserta dari sekolah lain turun ke dewan utama. Mendengar ucapan dan seterusnya upacara menyampaikan hadiah. 

Dunia bagaikan berputar (vertigo) lagaknya apabila namaku dipanggil sebagai johan pertandingan hafazan Al-quran peringkat daerah Melaka tengah. Menggeletar satu tubuhku bagai tidak percaya dengan realiti. Hangat terasa di pipi ada sesuatu mengalir deras. Spontan aku memuji kebesaran Allah swt sambil naik ke pentas menyambut piala. Itulah pengalaman ngeriku seumur hidup. 

Guru Besar amat kecewa dengan kami kerana 4 orang wakil sekolah dihantar hanya aku berjaya dalam kategoriku. Sekaligus nama aku menjadi busuk di kalangan guru dan pelajar sekolah. Mereka “menjeling” aku apabila berselisihan bahu. Aku malu diperlakukan sebegitu rupa.

Akhirnya, aku berjaya layak ke pusingan berikutnya, bertanding di peringkat negeri di MRSM Jasin. Aku mengundur diri ketika itu kerana peperiksaan semakin hampir. Hanya cebisan pengalaman dapat kukutip buat hati yang sunyi.





TAHUN 3

Aku masih diberi nyawa untuk terus bernafas di bumi Allah. Kini sasaran matlamat Ramadhan menguji daya ingatan hafalanku. Aku akur aku semakin tua dan nikmat hafalan yang pernah aku rasai hilang sedikit demi sedikit dek masa yang dipenuhi kesibukan duniawi. 

Sisa Ramadhan amat mencemburui, aku tercungap-cungap menghisap oksigen agar cukup untuk otak berproses. Tapi tidak. Aku masih tidak berjaya menghafal semuanya.  Lidah aku masih basah dek minimanya hafalan. Kini, aku perlu berusaha bersungguh-sungguh memperkasakan momentum ibadahku.




Aku ingin sekali berlari kepadaNya. Aku takut untuk berlari dariNya, walaupun aku seringkali tersasar.

Aku tahu di situ tiada halangan, malah hanyalah peluang. Ya! Peluang untuk capai mardhatillah…
http://muslimdoktor.blogspot.com/2011

No comments:

Post a Comment

arigatO!