Pengikut setia

Thursday 4 August 2011

Cara mendapat manfaat makan pada Ramadan

DALAM ruangan kali ini, saya ingin sarankan beberapa perkara dari segi kesihatan dalam menjalani puasa Ramadan. 

Puasa sebagai suatu latihan rohani yang menyebabkan rasa letih lesu dan dahaga, mengubahkan tabiat tidur dan makan kita sebulan lamanya. Bukan mudah hendak melakukannya, tetapi amat manis apabila dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

Sebenarnya dari segi kesihatan badan, puasa yang diamalkan selama kira-kira 14 jam sehari ada banyak manfaatnya. 

Apabila kita menahan diri daripada makan dan minum, anggota badan yang terbabit dengan penghadaman dapat kerehatan. 

Sel badan juga dapat mengeluarkan bahan buangan dengan lebih baik sebab dibebaskan daripada proses perkumuhan bahan makanan. Pemecahan lemak yang berlaku mengeluarkan toksin yang terperangkap dalam lemak. 

Untuk mendapat manfaat maksimum, kita perlu penuhi beberapa syarat: 

Sistem pembuangan najis perlu berfungsi dengan baik dan tidak boleh sembelit.

Kalau sembelit sebelum mulakan puasa, ini akan menyebabkan proses perkumuhan dan pembuangan toksin yang berlaku dalam hati tidak cekap. 

Seterusnya, sel badan tidak akan dapat membuang sisa perkumuhan dengan baik, maka badan akan simpan segala toksin yang mengakibatkan sakit kepala, mulut berbau, lenguh badan dan lesu. 

Untuk mengelak perkara itu, pastikan kita makan banyak bahan berserat dan minum banyak air pada hari-hari sebelum mula puasa. 

Kalau perlu, ambil ubat lawas buang air besar yang bertindak lembut seperti asam jawa atau ‘lactulose’ yang boleh dibeli di farmasi.

Lactulose adalah gula yang tidak hadam dan tidak akan bertukar menjadi glukos, maka boleh dimakan oleh orang yang menghidap kencing manis. 

Lactulose bersifat ‘prebiotic’ dan baja untuk kuman baik (good bacteria) dalam perut kita (acidophillus). Maka, dengan mengambil lactulose kita dapat membetulkan iklim dalam usus kepada yang paling sihat. 

Sewaktu berbuka dan bersahur, pilihlah makanan yang mudah hadam dan berkhasiat serta seimbang. Ini bererti kita perlu merancang menu berbuka supaya sempurna. Pastikan jangan ada pembaziran sebab orang lapar memang ada kecenderungan untuk menyediakan makanan yang terlalu banyak.

Elak makanan yang kita tahu menyebabkan sakit. 

Ramai yang tahu makanan mana yang dia alah (allergic) dan boleh menyebabkan sakit. Saya ingatkan juga supaya jangan makan makanan yang terdedah terlalu lama dan tidak disimpan dalam peti sejuk. 

Bakteria di negara panas seperti Malaysia amat cepat membiak dan walaupun makanan tidak berbau basi, mungkin sudah cukup bakteria untuk menyebabkan keracunan makanan. 

Kalau boleh jangan makan makanan yang berada dalam peti sejuk lebih daripada sehari kecuali yang sudah dibekukan selepas dimasak.

Kalau tahu ada alahan pada sesetengah makanan, memakan makanan itu ketika berbuka boleh mencetuskan alahan. Perkara ini boleh berlaku sebab alergi pada makanan lebih ketara apabila kita makan bahan itu ketika perut kosong. 

Elak makanan yang terlalu pedas dan berempah sebab pada masa puasa kita tidak minum dan perut kosong.

Memakan makanan berempah boleh menyebabkan masalah penghadaman dan buah pinggang. 

Selepas berbuka, minum air sebanyak boleh. 

Sebaik-baiknya adalah air bersih dan menjalani proses penapisan yang baik. Ketika solat Tarawih, bawa botol air dan minum di antara solat.

Minuman berkafein akan menyebabkan asid dalam perut bertambah dan bagi sesetengah orang akan menyebabkan pedih hati ketika berpuasa. Kafein boleh menyebabkan jantung berdebar dan susah untuk tidur.



Oleh Dr Suriya Osman

No comments:

Post a Comment

arigatO!