Pengikut setia

Tuesday 19 July 2011

Anorexia Nervosa dan Bulimia Boleh Membawa Maut

Oleh SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

APAKAH anda semua suka melakukan diet supaya tubuh kelihatan langsing dan menarik? Tiba-tiba sahaja jadi alergi atau alahan, sama seperti alah pada coklat, ais krim, dan makanan-makanan berkalori tinggi. Kemudian menjadi takut untuk makan kerana bimbang berat badan bakal naik sehingga seharian suntuk cukup hanya makan beberapa suap nasi sahaja. 

Hati-hati, kerana kalau diet yang dilakukan tidak wajar lagi, malahan akan jadi berbahaya. Pelakon filem “Ally Mc Beal”, Callista Flockshart, melakukan diet yang ‘melampau’ sehingga akhirnya menderita penyakit anoreksia. Lady Diana yang langsing itu juga ternyata mengalami masalah makan. Beliau dikatakan sering sahaja memuntahkan makanannya sebaik habis menyantap berbagai macam hidangan. 

Masalah makan yang dialami oleh Lady Diana disebut sebagai bulimia. Itu hanya sekadar contoh daripada ratusan (atau mungkin ribuan) kes tentang masalah makan yang dialami oleh beberapa orang ternama. Sebenarnya, tanpa kita sedari bahawa rakan, jiran atau jangan-jangan kita sendiri ternyata mengalami kes serupa. Apakah anoreksia atau bulimia itu dan kenapa seseorang boleh mengalami perkara-perkara tersebut?

ANOREXIA NERVOSA 

Gangguan makan yang umumnya dialami oleh pada remaja perempuan adalah anoreksia atau istilah perubatannya dikenali sebagai anorexia nervosa. Anoreksia adalah aktiviti untuk menguruskan badan dengan melakukan pembatasan makan secara sengaja dan melalui kawalan yang ketat. 

Penderita anoreksia sedar bahawa mereka berasa lapar, namun takut untuk memenuhi keperluan makan mereka kerana boleh mengakibatkan bertambahnya berat badan. Persepsi mereka terhadap rasa kenyang terganggu sehingga pada ketika mereka mengambil sejumlah makanan dalam jumlah yang kecil sekalipun, mereka akan segera merasa kenyang dan mual. 

Mereka terus menerus melakukan diet bermati-matian untuk mendapatkan tubuh yang kurus. Pada akhirnya keadaan ini boleh menimbulkan kesan yang berbahaya, iaitu kematian si penderita. Bayangkan saja, kalau mereka terus menerus menahan diri untuk tidak makan, dari mana mereka akan mendapatkan tenaga untuk hidup. 

BULIMIA 

Jika penderita anoreksia bermati-matian untuk menahan rasa lapar dan berusaha sedaya mungkin untuk tidak mengambil makanan dalam jumlah yang besar sehingga boleh tahan hidup hanya dengan makan dua tiga suap nasi sahaja dalam sehari, maka tidak demikian halnya dengan bulimia. Pada dasarnya, tujuan akhir daripada penderita bulimia dan anoreksia adalah sama, iaitu ingin mempertahankan bentuk tubuhnya selangsing (sekurus) mungkin. namun cara mereka sahaja yang berbeza. 

Penderita bulimia cenderung mengambil makanan yang mereka sukai. Mereka makan berlebihan untuk memuaskan keinginan mereka, namun kemudiannya mereka memuntahkannya kembali hingga tidak ada makanan yang tersisa. Dengan demikian mereka terhindar menjadi gemuk, tetap menjadi kurus tanpa perlu menahan keinginan mereka untuk makan. 

Dapat dibayangkan jika seseorang terus menerus memuntahkan makanan yang mereka makan, dari mana mereka akan mendapatkan kalori untuk melakukan aktiviti. Tubuh pun menjadi lemah, sukar untuk berfikir dan akhirnya tidak ada lagi tenaga yang boleh digunakan untuk mempertahankan dirinya. 

MENGAPA TERJADI DEMIKIAN

Ketika memasuki masa remaja, khususnya masa akil baligh, remaja menjadi sangat cerewet terhadap pertambahan berat badan mereka. Terjadi perubahan fisiologi tubuh yang kadangkala mengganggu fikiran mereka. Biasanya, perkara ini lebih sering dialami oleh remaja perempuan daripada remaja lelaki. Bagi remaja perempuan, mereka mengalami pertambahan jumlah jaringan lemak sehingga mereka akan mudah menjadi gemuk apabila mengambil makanan yang berkalori tinggi. 

Kalau dahulu, makan apa pun tidak memberi kesan kepada berat badan, tetapi setelah masa akil baligh (biasanya ditandai dengan menstruasi), baru makan coklat dua keping, tetapi beratnya sudah tambah sekilogram. Pada kenyataannya, kebanyakan wanita ingin keihatan langsing dan kurus kerana mereka beranggapan bahawa menjadi kurus akan membuatkan mereka bahagia, berjaya, dan popular. Apalagi kalau melihat ‘body’ para selebriti yang langsing (sebenarnya lebih tepat dikatakan kurus kering tidak berisi).

Sementara kalau tubuh kita gemuk atau berisi, pakai baju apa pun rasanya seperti sedang memakai karung guni. Akhirnya, lingkungan persekitaran juga turut mempengaruhi. Semakin sering diejek gemuk, maka dietnya semakin hebat. Maka, tidak menghairankan apabila ketidakpuasan seseorang dengan bentuk tubuhnya akan mengembangkan masalah pada gangguan makan. Remaja dengan gangguan makan seperti di atas memiliki masalah dengan ‘body image’nya.

Ertinya, mereka sudah memiliki suatu ‘mind set’ (pemikiran yang sudah terpateri di dalam otak) bahawa tubuh mereka tidak ideal. Mereka mempersepsikan tubuh mereka sebagai gemuk, banyak lemak di sana sini, tidak seksi dan lain-lain yang kesimpulannya tidak sedap mata memandang dan tidak semenarik tubuh orang lain.

Akibat pemikiran yang sudah terpateri ini, seorang remaja akan selalu melihat tubuh mereka terkesan gemuk padahal kenyataannya berat badan mereka semakin turun hingga akhirnya mereka menjadi sangat kurus. Mereka akan dihantui perasaan bersalah, manakala mereka makan banyak kerana perkara itu akan menyebabkan berat badan naik. 

Masalah ‘body’ ini akhirnya menyebabkan remaja menjadi tidak yakin pada diri sendiri dan sukar untuk menerima keadaan dirinya. Mereka beranggapan bahawa kepercayaan diri akan tumbuh kalau mereka juga memiliki tubuh yang sempurna (sempurna di sini bermaksud kurus). 

APAKAH KESANNYA 

Penderita atau penghidap anoreksia dan bulimia boleh menurunkan berat badan antara 25-50 peratus daripada berat badan mereka. Jika gangguan ini, baik anoreksia mahupun bulimia tidak segera ditangani, maka boleh membawa kesan serius baik secara fizikal mahupun psikologi, bahkan kes yang parah sehingga boleh menyebabkan kematian. Kesan fizikal yang umumnya terjadi pada mereka adalah seperti yang berikut: 

1. Kehilangan selera makan, hingga tidak mahu mengambil apa-apa pun makanan. 
2. Luka pada kerongkong dan infeksi saluran pencernaan akibat terlalu sering memuntahkan makanan. 
3. Lemah, tidak bertenaga. 
4. Sukar berkonsentrasi. 
5. Gangguan menstruasi. 
6. Kematian.

Kesan fizikal secara tidak langsung juga akan mempengaruhi keadaan psikologi seseorang, sehingga masalah psikologi yang muncul pada mereka dapat dikesan menerusi simptom seperti yang berikut:

1. Perasaan tidak berharga. 
2. Sensitif, mudah tersinggung, mudah marah. 
3. Mudah merasa bersalah. 
4. Kehilangan minat untuk berinteraksi dengan orang lain. 
5. Tidak yakin diri, canggung berhadapan dengan orang ramai. 
6. Cenderung berbohong untuk menutup perilaku makannya. 
7. Minta perhatian orang lain. 
8. Depresi (sedih terus menerus). 

Mereka memerlukan bantuan segera daripada pakar psikologi, doktor, pakar pemakanan, dan tentu sahaja ibu bapa untuk memulihkan masalah tersebut agar tidak membawa kesan yang lebih serius lagi, iaitu kematian. 

BAGAIMANA MENDAPATKAN TUBUH YANG IDEAL 

Kita perlu mengkaji kembali apa maknanya tubuh yang ideal. Apakah perlu memiliki tubuh yang kurus, langsing atau seksi menurut gambaran masyarakat? Rasanya tidak ada yang lebih ideal dibandingkan dengan memiliki tubuh yang SIHAT. Untuk apa kurus, langsing dan seksi kalau pada kenyataannya kita menyeksa diri dan akhirnya sakit. 

Namun, adalah menjadi amalan yang tidak baik jika akhirnya kita memanjakan diri kita dengan aneka makanan sehingga akhirnya berat badan kita berlebihan dan berisiko tinggi untuk terkena penyakit. Oleh sebab itu, lebih baik mengatur pola makan yang seimbang agar dapat mencapai tubuh yang ideal (sihat). Jika remaja ingin mendapatkan tubuh yang sihat, maka terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan seperti yang berikut: 

1. Mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar pemakanan untuk mendapatkan pola makanan yang seimbang. 
2. Sukan yang teratur .
3. Tidur secukupnya .
4. Tidak mengambil ubat-ubatan yang tidak perlu (seperti ubat atau jamu pelangsing, ubat tidur, dadah, dan sebagainya).

No comments:

Post a Comment

arigatO!