Dalam musim cuti semestinya ramai yang akan mendirikan masjid. Kawasan kejiranan saya di sini sendiri akan berlangsungnya 3 buah majlis perkahwinan pada saat cuti. Ketiga-tiga pasangan bakal pengantin itu adalah dalam umur lingkungan 27-30an bagi perempuan dan 27-40an bagi yang lelaki. (sumber : daripada makcik jiran sebelah rumah). Ini yang membuatkan saya terfikir. Fakta yang mengatakan ‘Gejala lambat kahwin semakin meningkat di Malaysia’ (yang pernah diwar-warkan suatu ketika dulu), kini semakin jelas kesahihannya. Saya setuju dengan fakta itu berdasarkan kepada sedikit hasil kajian saya berkenaan topik ini sewaktu di semester satu dulu. Nyata dan jelas sekali generasi masa kini (majoriti yang berpendidikan tinggi dan berkerjaya) cenderung berkahwin di usia yang lanjut.
Pada ketidakcelikan pandangan seorang pelajar yang masih menuntut seperti saya, revolusi pendidikan sememangnya merupakan faktor yang sangat ketara yang menyebabkan generasi muda kahwin lambat. Saya ingin jadikan bukti, seperti yang kita lihat sekarang, adanya pertambahan institusi-institusi pengajian tinggi di Malaysia. Berapa peratuskah golongan yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi itu adalah di kalangan bujang belaka? Mungkinkah hampir mencecah 90%? Matlamat generasi muda masa kini : menara gading adalah nombor satu.Perkahwinan tidak lagi menjadi sesuatu yang penting dalam fikiran mereka selagi cita-cita belum tercapai. Maka, pendidikan dikatakan menghalang perkahwinan. Apakah benar?
Satu lagi bukti, apabila makcik saya menanyakan soalan ini kepada mak saya, “Anak dara kamu tu bila nak kahwin?” dan sudah tentu jawapan mak saya, “Masih belajar lagi..tunggulah lepas tamat belajar..” Kita dapat lihat dalam konteks ini, pendidikan seolah-olah menghalang perkahwinan di usia muda. Menjadi satu hakikat bahawa setiap generasi masa kini berlumba-lumba untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat yang lebih tinggi. Berbanding pada zaman datuk nenek kita dahulu, majoritinya mempunyai taraf pendidikan yang cukup rendah setakat bersekolah rendah, memadai dengan tahu membaca dan mengira. Bersumberkan daripada cerita mak saya, dahulu golongan wanita biasanya menunggu selepas tamatnya tingkatan 5, (dalam umur 17 tahun) sebelum boleh diizinkan berkahwin. Bandingkan dengan zaman sekarang, bagi mereka yang melanjutkan pelajaran ke IPT, tempoh menunggu itu dilewatkan sehingga menamatkan pengajian iaitu lebih kurang pada usia 23 hingga 24 tahun. Dan masa menunggu itu mungkin dilewatkan lagi apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat master atau PHD. Pada umur berapakah itu?
Saya tidak nafikan ramai juga mahasiswa/i yang telah menemui pasangan hidup di alam universiti, tetapi kebanyakannya tidak bercadang untuk berkahwin pada masa itu kerana lebih mengutamakan tanggungjawab sebagai pelajar. Ini memaksa mereka memilih untuk sekadar mengikat tali pertunangan sahaja dan memutuskan untuk berkahwin setelah tamat pengajian. Tapi jika dilihat secara keseluruhannya, lebih ramai pula yang selepas tamat pengajian melibatkan diri dengan alam pekerjaan terlebih dahulu dan selepas beberapa tahun barulah berfikir tentang alam perkahwinan. Bagi golongan wanita, apa guna belajar tinggi-tinggi jika selepas itu duduk di rumah jadi suri rumah sepenuh masa. Maka bekerja adalah satu kepentingan bagi wanita generasi masa kini. Sememangnya penceburan golongan wanita dalam pendidikan dan alam pekerjaan semakin meningkat dari tahun ke tahun.
Dahulu seorang anak gadis yang berusia 20 tahun dianggap anak dara tua jika belum berkahwin, tetapi sekarang ini tidak lagi kerana pada usia itu masih ramai yang sedang berada di IPT.Selepas alam universiti, adanya alam pekerjaan dan akhir sekali barulah alam perkahwinan.
Apakah faktor yang mendorong kahwin lambat?
Sedikit maklumat yang saya ambil daripada asignment titas saya dulu, hasil mini kaji selidik kepada 300 orang mahasiswa/i UMS, 2006. Berkenaan faktor kahwin lambat, kami peroleh respon dan pendapat yang pelbagai daripada golongan terpelajar. Antara beberapa faktor yang dijadikan sebagai alasan lambat kahwin :
- Revolusi pendidikan – seperti yang saya jelaskan di atas
- Mengejar cita-cita – cita-cita yang tinggi, kerjaya yang hebat-hebat
- Bekerja lebih penting – stabilkan kewangan dahulu baru fikir kahwin
- Terikat dengan tangungjawab terhadap keluarga – biasanya anak sulung
- Hantaran pihak perempuan terlalu tinggi (lelaki) – alasannya, “ekonomi dah naik, hantaran pun naik”
- Terlalu memilih – belum jumpa calon yang/pasangan yang sesuai atau lebih tepat ‘idaman hati’
- Halangan ibu bapa/keluarga – ‘cinta terhalang kerana bukan pilihan keluarga’
- Egoistik – ego terhadap wanita berkerjaya/pendidikan tinggi (lelaki), rasa boleh berdikari sendiri tanpa lelaki (wanita),
- Lebih tertarik kepada kaum sejenis – penkid, lesbian, gay dsbg..
- Pengaruh kisah menakutkan alam perkahwinan (wanita) – risiko perceraian, keganasan rumah tangga
- Suka hidup bebas tanpa kongkongan dan bebanan tanggungjawab
- Masalah kesihatan
- Ganguan psikiatrik (gamofobia) – takut terhadap alam perkahwinan (serangan panik, berpeluh dan jantung berdegup kencang)
** Bagi yang masih bujang, apakah alasan anda?
Shoctak (1987) telah mengkategorikan golongan membujang kepada 4 jenis :
Ambivalent
Pilihan individu itu sendiri untuk hidup membujang dan menganggap pembujangan mereka ini adalah sementara. Mereka tidak mencari pasangan untuk tujuan berkahwin. Walau bagaimanapun mereka bersikap terbuka terhadap cadangan berkahwin. Mereka ini biasanya terdiri daripada golongan lelaki dan perempuan awal dewasa yang secara aktifnya terlibat dengan pendidikan, karier atau seronok dengan kehidupan masing-masing.
Wishful
Merupakan individu yang secara terpaksa hidup membujang dan menganggap pembujangan adalah sementara. Mereka secara aktif mencari pasangan untuk berkahwin tetapi masih gagal. Mereka yang tergolong dalam bujang jenis ini sedar bahawa mereka ingin berkahwin.
Resolved
Merujuk kepada golongan individu yang menganggap diri mereka bujang untuk selamanya. Terdapat peratusan yang sangat kecil yang memilih untuk menjadi bujang jenis ini. Mereka lazimnya merupakan para rahib, pendita atau sami.
Regreteful
Bujang jenis ini merupakan golongan individu yang ingin berkahwin tetapi menganggap bahawa takdir telah menentukan mereka kekal membujang dan tidak berkahwin. Kebanyakan mereka terdiri daripada wanita yang berpendidikan tinggi dan berumur lebih daripada 40 tahun dan mempunyai gaji yang besar.
**Yang mana satukah anda?
Juga ada sedikit maklumat statistik yang saya ambil daripada asignment titas itu juga (berdasarkan rujukan tambahan, sumber daripada statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, 2000):
- % golongan yang belum berkahwin lingkungan umur 20-34 tahun
Tahun golongan muda golongan wanita
1981-1990 43.2 60.2
1991-2000 48.1 86.5
- Sebelum merdeka, purata perkahwinan ialah sekitar 17 tahun (di luar bandar sekitar 15-16 tahun). Pada tahun 1988, umur perkahwinan pertama bagi wanita Melayu:19 tahun, India: 20 tahun dan Cina: 22 tahun. (Purata 20 tahun)
- Pada tahun 1956, wanita yang berkahwin pada usia 15-16 tahun lebih kurang 97% dan pada 1988, ianya menurun kepada 6% sahaja.
- Purata umur minima perkahwinan pertama :
Tahun lelaki wanita
1980 26 23
1991 28 24
2000 28 25
Kita dapat lihat corak peningkatan umur untuk berkahwin semakin bertambah. Tahun demi tahun pastinya lebih ramai yang akan berkahwin pada lewat usia. Seperti yang kita tahu pelbagai masalah sosial berlaku disebabkan gejala kahwin lambat ini. Antaranya masalah sosial pergaulan bebas semakin meningkat, pertambahan bilangan anak luar nikah, aborasi berleluasa, peningkatan bilangan golongan wanita yang bekerjaya dan berpangkat tinggi, kedudukan wanita dalam institusi sosial semakin setaraf dengan kedudukan lelaki, kesukaran mendapatkan anak pada lanjut usia bagi wanita. Kecenderungan kelahiran bayi yang tidak normal kerana hamil pada usia sudah lanjut (akibat kemerosotan hormon reproduktif), gangguan emosi (tuntutan zahir dan batin tidak dipenuhi) dan seumpamanya..
Hidup membujang ada hadnya. Jika sudah cukup syarat segerakan pelaksanaannya. Jangan sampai gelaran andartu, andalusia, bujang lapuk, bujang terlajak menjadi milik anda.
Firman Allah s.w.t dalam surah al- Nuur ayat 32: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang ) di antara kamu..”
Hadis Rasulullah s.a.w. : “Nikah adalah sunnahku, maka barang siapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunnahku itu.” (riwayat Abu Ya’la dari Ibnu Abbas r.a.)
Islam adalah agama yang menganjurkan perkahwinan, malah tiada agama yang tidak menganjurkan perkahwinan kerana perkahwinan adalah satu-satunya yang menghalalkan perhubungan untuk membina keluarga dan mengembangbiakkan umat manusia.
Institusi perkahwinan dan keluarga sememangnya telah mengalami perubahan ekoran evolusi sosiobudaya. Berdasarkan kenyataan Saxton (1996), Sebelum abad ke-19, perkahwinan dan keluarga dianggap institusi yang mulia dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Pada awal ke-19, pandangan ini telah berubah kepada anggapan bahawa ia adalah institusi sivil. Pandangan ini berubah lagi di abad ke-20 di mana perkahwinan dan keluarga dilihat sebagai cara memperoleh kepuasan peribadi. Semua ini jelas mencerminkan perubahan dari segi matlamat. Tetapi fungsi asasnya seperti aspek psikologi, sosial, kemasyarakatan dan ekonomi adalah masih kekal hingga ke hari ini.
Definisi klasik : perkahwian sebagai satu ikatan antara individu lelaki dan perempuan yang sah diperakui undang-undang, budaya, agama dan adat resam.
Perspektif agama Islam : merujuk kepada akad perjanjian (akad nikah atau tazwij) untuk menyatukan lelaki dan perempuan bagi menghalalkan hubungan kelamin, bertujuan mencapai kebahagiaan yang berkekalan mengikut garis panduan yang ditetapkan syarak.
Perspektif barat : Olson dan DeFrain (2000) mendefinisikan perkahwinan sebagai satu ikatan untuk berkongsi komitmen emosi yang sah dari segi undang-undang antara dua individu untuk berkongsi emosi, kemesraan fizikal, tugas dan juga sumber ekonomi.
1. Apakah pula definisi perkahwinan dalam fikiran anda?
2. Bagi yang telah berkahwin, berapakah umur anda ketika menamatkan zaman bujang?
3. Bagi yang masih membujang, pada umur berapakah anda akan berkahwin?
sumber dari:kasitor.net
No comments:
Post a Comment
arigatO!