Pengikut setia

Thursday, 25 August 2011

Selamat tinggal Ramadhan.sedih atau gembira?

SELAMAT Tinggal Ramadhan, manuju hari raya. Apa rasa kita? Saya.. anda.. Gembira atau sedih berpisah dengan Ramadhan tahun ini? Kalau umur panjang boleh jumpa Ramadhan lagi..
Dalam Islam, sebuah amal bahkan hidup kita akan ditentukan bagaimana kita mengakhirinya. Kita mengenal istilah khusnul khatimah dan juga su’ul khatimah. Rosulullah SAW pernah menegaskan, bahawa setiap amal itu sangat tergantung bagaimana kita mengakhirinya.
(i) “Sesungguhnya seorang hamba benar-benar telah beramal dengan amalan ahli neraka padahal sesungguhnya ia termasuk ahli syurga, dan beramal dengan amalan ahli syurga padahal ia termasuk ahli neraka. Dan sesungguhnya amal-amal itu tergantung pada penutupannya.” (HR. Al-Bukhari dari Sahl bin Muadz)
(ii) Ibnu Hajar berkata dalam syarhnya, Ibnu Bathal berkata, “Bahwa tidak diketahinya akhir suatu amal dari seorang hamba memiliki hikmah yang luar biasa dan didikan yang halus, kerana sekiranya seseorang tahu bahawa ia selamat, niscaya ia akan berbangga diri dan bermalas-malasan. Namun bila ia termasuk orang yang binasa (kerana adzab), akan bertambah kedurhakaannya. Sehingga tidak diketahuinya akhir sebuah amal, agar orang selalu berada dalam keadaan khauf dan raja’ (berharap) (Fathul Bari Juz II hal 330).
(iii) Lihatlah kisah khusnul khatimah (akhir amal yang baik) pada seseorang yang telah membunuh 100 orang dan Allah memberi taubat atasnya, sehingga bumi dilipat untuknya.
(iv) Juga kisah seorang musyrik di masa Nabi SAW. Ketika itu, salah seorang dari orang-orang musyrik yang bernama Mukhayrit datang kepada Rasulullah SAW, dia menempuh perjalanan dan ketika sampai di Madinah dia tidak jumpa siapapun. Mereka semua bersama Nabi berada di Uhud, lalu dia pergi ke Nabi dan memeluk Islam dengan benar di Medan Perang, dan dia terbunuh di Medan Perang itu. Abu Hurairah RA menunjuk kepadanya sebagai seseorang yang melakukan hal yang sangat sedikit akan tetapi memperoleh pahala yang besar. Nabi SAW berkata bahawa Mukhayrit adalah orang yahudi yang terbaik kerana dia berperang dan menjadi syahid (khusnul khatimah)
(v) Perhatikan pula kisah suul khatimah (akhir amal yang buruk) setelah melalui amal shalih yang menimpa kaum yang berjihad bersama Nabi dan dikhabarkan, mereka masuk neraka. ”Dari Abdullah bin Umar, ”Ada seorang lelaki masih termasuk kerabat Nabi yang dikenal dengan nama Kirkirah. Ketika ia meninggal, Nabi bersabda, ”Dia di neraka.”
Orang ramai pun pergi menemuinya dan mendapati ia bersama mantel yang ia curi.” (HR Bukhari).
(vi) Rosulullah SAW dalam hadits lain menasihati para sahabat agar takut atau hati-hati terhadap seluruh amal mereka. Hal ini kerana tidak ada seorang pun yang akan ‘selamat’ atau lepas dari amal perbuatannya, bahkan Nabi SAW. sendiri.
“ Tidak seorang pun diantara kamu yang akan selamat (bebaslepas dari) kerana amalnya.” kata Nabi. (HR. Muslim dan Abu Hurairah)
(vii) “ Berlaku luruslah kamu, berkatalah yang halus, dan tebarkan khabar gembira, sesungguhnya tidaklah seseorang akan masuk Jannah (kecuali) kerana amalnya. “
Mereka berkata, “Tidak juga Engkau wahai Rasulullah?
Nabi berkata, “Tidak juga aku, kecuali bila Allah melimpahkan ampunan dan rahmat-Nya kepadaku.” (HR. Al-Bukhari dari Aisyah)
(viii) Ibnu hajar berkata, “Dan sesungguhnya syurga tidak dimasuki seseorang kerana amalannya tetapi dengan rahmat Allah.
(ix) Ketakutan dan kekhuatiran terhadap amal-amal kita kerana dua sebab:
a). Kerana amal-amal itu tergantung penutupnya (khatimah), sedangkan kita tidak tahu dengan apa amalan kita akan ditutup (su’ul khatimah atau khusnul khatimah)
b). Jika amal penutupnya adalah kebaikan, maka kita tetap khuatir diterimakah amal kita? Kerana amal itu terkadang dhahirnya kelihatan baik dan sempurna, tetapi sebenarnya ada cacat tersembunyi, menjadikan tertolaknya amal di sisi Allah. Contohnya seperti riya, ujub, masna (mengungkit-ungkit pemberian), makan harta haram dan lain-lain.
Bagaimana kita mengakhiri Ramadhan?
Ini adalah penting dan menjadi indikasi bagaimana kualiti Ramadhan kita kali ini. Barangsiapa telah berbuat baik di bulan Ramadhan hendaklah menyempurnakan kebaikannya, dan barangsiapa berbuat jahat hendaklah ia bertaubat dan menjalankan kebaikan pada sisa-sisa umurnya. Barangkali kita tidak jumpai lagi hari-hari Ramadhan setelah tahun ini.
Maka hendaklah diakhiri dengan kebaikan dan senantiasa melanjutkan perbuatan baik yang telah dilakukan di bulan Ramadhan lain. Kerana Rabb yang memiliki bulan-bulan itu hanyalah satu, dan Dia mengawasi kita dan menyaksikan kita. Dia memerintahkan kita untuk taat sepanjang hayat.
Ada salahfaham pada umat yang ‘menyembah’ Ramadhan, bukan menyembah Allah SWT. Ertinya, di bulan Ramadhan dia begitu ta’at dan memenuhi seluruh perintah Allah SWT dan meninggalkan laranganNya. Tetapi, selepas Ramadhan, sudah tidak lagi.
"Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal Allah kecuali di bulan Ramadhan," kata sebahagian ulama salaf mengenaikaum itu.
Jadi, sesiapa yang menyembah Ramadhan, Ramadhan ini akan habis dan pergi. Tetapi sesiapa yang menyembah Allah, maka sesungguhnya Allah itu Maha Hidup, tidak mati. Maka teruskanlah beribadah setiap waktu dan seluruh bulan, tidak hanya Ramadhan.
Orang mukmin bergembira dengan selesainya Ramadhan kerana telah memanfaatkan bulan itu untuk ibadah, taat, mengharap pahala dan keutamaannya. Sedang orang munafik bergembira bila selesai bulan itu, kerana akan berangkat untuk bermaksiat dan mengikuti syahwat yang selama Ramadhan itu telah terkongkong.
Jadi, orang mukmin melanjutkan kegiatan setelah bulan Ramadhan dengan istighfar, takbir dan ibadah, namun orang munafik melanjutknya dengan maksiat-maksiat, hura-hura, pesta-pesta muzik dan nyanyian, kerana gembira dengan berpisahnya Ramadhan dari mereka. Ramadhan, setelah berpuasa sebulan, kini ditutupi dengan sholat hari raya Aidilfiri dan bayar zakat fitrah. Sebagaimana Allah mensyari’atkan sholat ‘iedul Adha sebagai tanda syukur kepadaNya atas penunaian kewajiban ibadah haji.
Keduanya adalah Hari Raya Islam. Telah diriwayatkan secara shahih dari Nabi SAW, bahawa beliau ketika datang di Madinah penduduknya mempunyai dua hari yang mereka itu bermain-main di hari itu, beliau bersabda, “Sungguh Allah telah mengganti untuk kamu dua hari tersebut dengan yang lebih baik dari keduanya, (yaitu) hari (raya) kurban dan hari (raya) fitri.”
Maka tidak boleh menambahi dua hari raya ini dengan mengadakan hari-hari raya baru yang lain. Hari raya dalam Islam itu disebut ‘ied, ertinya 'kembali'. Dia itu kembali dan berulang-ulang lagi setiap tahun membawa kegembiraan dan kesenangan. Kurnia yang telah Allah mudahkan berupa pelaksanaan ibadah puasa dan haji, yang keduanya itu, ibadah puasa dan haji, adalah termasuk rukun Islam.
Bukan sahaja lelaki, bahkan Nabi SAW juga telah memerintahkan muslimah-muslimah agar keluar untuk shalat ‘ied atau hari raya. Kaum wanita disunnahkan hadir tanpa pakai wewangian, tidak berpakaian dengan pakaian hias atau menarik perhatian, dan tidak bercampur aduk dengan lelaki. Begitu juga bagi wanita yang sedang haidh, mengikut syaratnya.
Keluar sholat, menampakkan syiar Islam usahakan supaya betul-betul khusyu’, ghaddhul bashar (menjaga pandangan dari yang haram), menjaga lisan dari cakap kosong, porno, dan bohong. Juga jagalah, jangan dengar cakap-cakap mengarut, nyanyian lara, muzik yang melalaikan otak, pesta raya yang hura-hura, dan permainan orang bodoh, walaupun ianya dari media pemerintah, swasta atau lain-lainnya.
Kerana itu Nabi SAW mensyari’atkan ummatnya untuk menyambung puasa Ramadhan dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal. Sabda Nabi SAW, “Barangsiapa berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan (puasa sunnah) enam hari di bulan Syawwal maka seakan-akan ia berpuasa setahun.” (HR. Muslim).
Yakni dalam hal pahala dan lipat gandanya. Kerana 1 kebaikan dibalas 10 kaliganda, maka satu bulan Ramadhan dibalas 10 bulan, sedang 6 hari (6x10) di Bulan Syawwal dibalas dua bulan. Jadi seluruh bulan dalam setahun itu seakan-akan dipuasai oleh orang Muslim, apabila ia telah puasa Ramadhan dan kemudian diteruskan dengan 6 hari dari bulan Syawwal (setelah ‘ied). Insya Allah. Wallahu’alam bis showab!
Selamat meninggalkan Ramadan dengan penutup yang baik dan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir batin kepada pengunjung-pengunjung blog ini.
Ibnu Hasyim Catatan Santai
alamat e-mail: ibnuhasyim@gmail.com

No comments:

Post a Comment

arigatO!