Pengikut setia

Friday 26 August 2011

Ramadhan semakin berlalu,aku pula semakin malas



Hati terasa pilu mendengar bacaan Tok Imam dalam solat terawih rakaat yang keempat. Benar-benar terkesan di jiwa akan bacaannya yang mendayu-dayu seolah-olah mengajak air mata untuk turun memaknai ayat yang diturunkan oleh Allah kepada hamba-hambaNya yang beriman.

" Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul Qadar. Apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul Qadar? Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara ( yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikut ) . Sejahteralah malam ( yang barakah ) itu hingga terbit fajar " .

Surat al-Qadar ayat 1 hingga 5 sudah cukup untuk mengingatkan kita bahawa bulan Ramadhan yang mulia akan meninggalkan kita. Ya, sudah saatnya untuk Ramadhan pergi. Dan aku ditinggalkan masih begini. Syaitan akan bebas sedang imanku masih rapuh manakala nafsuku terus membuas.

Air mata menitis laju tatkala terkenangkan adakah Ramadhan ini kali terakhir buat aku atau jika dipanjangkan umur untuk Ramadhan akan datang, adakah aku masih seperti sekarang?
Tiada penambahan iman, hanya sekadar melalukan rutin-rutin yang sudah biasa dilakukan pada Ramadhan yang lepas?

Apakah ibadah puasa yang telah dilakukan selama ini telah diterima oleh Allah?
Apakah layak diberi ganjaran pahala oleh Allah? Atau sekadar lapar dan dahaga?
Apakah semakin bersemangat beramal ibadah atau semakin lalai dan meringankan ibadah?

Apakah pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan ini, diri semakin banyak membaca al-Quran, bersedekah, berzikir dan beristighfar?


Ataupun menghabiskan masa dengan membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan, meninggalkan sembahyang terawih, kurang membaca al-Quran dan berbual-bual kosong sehingga melupakan kelebihan di akhir Ramadhan?

Bagaimana pula Ramadhan ini mampu membentuk diri setelah ditinggalkannya nanti?
Inilah persoalan-persoalan yang perlu ditanya pada diri sendiri untuk sama-sama memuhasabah Ramadhan.





MALAS BERIBADAH, SEMANGAT BERSHOPPING


"Wan, jom kita gi solat terawih malam ni"
"Aku penatlah. Nak tido jap, siang tadi aku banyak berjalan, shopping baju raya"
"La...kan Ramadhan nak abes dah. Nanti dah tak leh solat terawih lagi"
"Takpelah..Bukannya wajib. Sunat pun. Aku dah mengantuk ni. Kau pergi je lah"

Di kala ini, kita sudah menghadapi fasa terakhir Ramadhan. Diibaratkan dalam pusingan akhir perlawanan bola sepak, pasukan iman masih bertungkus lumus berlawan dengan pasukan nafsu. Siapakah bakal pemenang?

Bagaimana pula puasa kita pada hari ini? Pada hari-hari yang lepas?
Adakah keimanan kita semakin bertambah atau semakin lemah dalam menjalani ibadah puasa tetapi bersemangat shopping raya?

Sebenarnya kita masih berlawan dengan nafsu kita sendiri walaupun di bulan ramadhan syaitan bercuti.
Hakikatnya, kita punya penyakit yang sangat bahaya iaitu malas, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan ini mentaliti masyarakat Melayu menganggap bulan puasa sangat meletihkan dan kita tidak mampu nak buat apa pun kerja.

Bagi mereka yang beriman, bulan Ramadhan adalah satu tembok yang tinggi untuk didaki.
Kenapa?

Kerana hanya hamba yang terpilih sahaja berjaya merentasinya.Mereka sedar bahawa bulan yang penuh barakah ini hanya datang sekali dalam setahun, dibiarkannya dengan keletihan dan kemalasan maka rugilah kita.



TAQWA : JANGAN BIARKAN RAMADHAN BERLALU PERGI

"Ada gembira di hati menyambut Aidilfitri dan melihat Ramadhan pergi, itukah tanda hati suci?" soal hati kecil.

Menyentuh soal taqwa, pelbagai cara kita boleh menghampiri ketaqwaan walaupun godaan dunia semakin hebat. Apabila Ramadhan hadir membuatkan diri terasa amat kerdil dan menyayangi Allah dengan sepenuh jiwa raga. Rasa kehambaan terpancar dari buah-buah ketaqwaan.

Tetapi Ramadhan tak akan tunggu tapi akan meninggalkan kita. Namun, andai taqwa masih bertakhta di hati, biarpun Ramadhan berlalu dan Syawal menjelma rasa cinta dan kasih kita kepada Allah tetap bercambah.





HAMBA ALLAH vS HAMBA RAMADHAN

"jadilah seorang HAMBA TUHAN bukannya HAMBA RAMADHAN" maksudnya jadilah kita hamba kepada Allah, bukan hamba kepada bulan Ramadhan. 

Tidak sepatutnya kita kuat beribadah hanya di dalam bulan Ramadhan sahaja namun seharusnya hendaklah sentiasa istiqamah.

Abdul Aziz bin Abi Daud berkata tentang para salafus soleh: “Aku mendapati mereka bersungguh-sungguh dalam beramal soleh. Ketika mereka telah melakukannya, mereka pun ditimpa kekhuatiran, apakah amalan mereka diterima atau tidak?”

Kita tidak boleh merasa cukup dengan amalan ibadah yang telah kita lakukan. Ingatlah bahawa di hari hisab kelak semua orang tak terkecuali akan merasa rugi dan menyesal, termasuklah orang-orang soleh. Mereka berangan-angan seandainya mereka dikembalikan ke dunia untuk beramal lebih banyak lagi dengan seikhlas-ikhlasnya.




LAILATUL QADAR : BERSEMANGATLAH DIRI!


Tidakkah kita terasa cemburu jika pada malam lailatul qadar, malaikat yang jumlahnya lebih banyak dari jumlah pepasir di muka bumi memberikan salam dan ucapan selamat kepada orang yang bersujud, bertadarrus, sedangkan pada saat itu kita enak dibuai mimpi indah selepas kenyang berbuka puasa dan moreh?

Atau mungkin masih membeli belah di tengah keramaian di mana kebanyakan manusia lalai dari mengingati Allah SWT,
larut dalam urusan dunia mengemas rumah,
atau bahkan melakukan maksiat?

Jadi sebagai seorang muslim yang komited dan sensitif dengan bulan Ramadhan, hendaklah kita meletakkan objektif khusus apa yang kita hendak capai pada diri kita apabila tamat Ramadhan kali ini.

Semoga dalam Ramadhan tahun ini kita termasuk orang-orang beruntung yang mendapat malam lailatul qadar dalam keadaan melakukan amal ibadah bersungguh-sungguh kerana Allah. Semoga Allah melindungi kita daripada melakukan perkara-perkara makruh, lagha (tidak berfaedah) dan maksiat. Na’udzubillahiminzalik

Beringatlah dengan teguran pedas dari Malaikat Jibrail dalam doanya.

“Aku telah didatangi oleh Jibril dan berkata kepadaku: Wahai Muhammad!, barangsiapa yang telah mendapatkan Ramadhan namun dia tidak diampuni maka Allah menjauhkan dirinya dari rahmatNya, maka aku menjawab: Aamiin…” (HR Ibnu Hibban)

Jangan sampai kita termasuk golongan yang telah penat lelah berpuasa di bulan Ramadhan namun dosa-dosa mereka tidak diampuni. Itu adalah alamat kecelakaan sebagaimana doa Jibril yang telah diaminkan oleh Rasulullah SAW.

Selagi Ramadhan masih ada, selagi itu peluang mencari malam lailatul qadar masih ada
Selagi Ramadhan masih ada, selagi itu peluang menjadi "bayi baru lahir" selepas Ramadhan masih ada
Selagi Ramadhan masih ada, selagi itu peluang menjadi graduan Universiti Tarbiyyah Ramadhan masih ada

Ya, mudah-mudahan kita menjadi graduan yang lulus cemerlang dari Universiti Tarbiyyah Ramadhan ini agar dapat menjadi bekalan kita menghadapi 11 bulan yang mendatang sebelum bertemu Ramadhan yang akan datang sekiranya dipanjangkan usia kita lagi oleh Allah SWT.

Ini kerana tidak lain dan tidak bukan....kita masih tidak pasti sama ada kita berpeluang atau tidak menyambut Ramadhan pada tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

arigatO!