Pengikut setia

Saturday, 9 July 2011

Cara untuk mudah senyum

Seseorang pernah menyatakan, sukar untuk memberikan peluang kedua apabila kita sudah punya satu sebab kukuh untuk tidak mempercayai mereka sama sekali sewaktu peluang pertama diberikan. Dipersiakan, dikhianati dan entah apa lagi membuatkan peluang kedua adalah sesuatu yang mustahil walaupun ternyata ada orang yang mampu untuk memberikan sehingga peluang ke tiga puluh dua.

Cinta.
Kasih sayang sesama manusia.
Itu semuanya hanyalah bait-bait perkataan yang tidak membawa sebarang erti sehinggalah datang seseorang yang memberikan makna tersendiri kepada kamu. Setiap orang bahkan merasakan perasaan yang berbeza walaupun mereka mengakui dilamun rasa cinta yang bahagia. Ah, bahagia itu bahkan tidak dapat disukat dan penimbangnya pastilah berbeza berdasarkan insan yang merasainya.
Benar bukan?

Gambar : Ada orang kata cinta sejati tidak akan mempunyai pengakhiran bahagia selamanya sebaliknya, bahagia itu sebenarnya tidak akan berakhir. Kekal.

Senyum.
Kadangkala betapa beratnya sesuatu kesalahan itu, seseorang itu perlu diberikan peluang seterusnya agar dia dapat memperbaiki kesilapan kali pertama yang mungkin terjadi akibat diri yang tidak matang dalam membuat keputusan ataupun pengaruh unsur luar. Tidak semestinya kita mahu terus menghukum mandatori kepada mereka yang menyakitkan itu. Peluang mungkin wajar diberikan agar dalam kesesatan mencari kebahagiaan, ada jalan yang terang dan bersuluh dalam menempuh hidup penuh warna.

Senyum lagi.
Peluang yang entah kali keberapa juga boleh diberikan sesuka hati kita memandangkan kita yang lebih kenal dengan situasi yang berlaku dalam hidup sendiri. Seringkali aku percaya sehingga aku punya kehidupan sendiri dan dapat menentukan apa yang terbaik dalam hidup aku, aku mungkin tidak layak berada dalam lingkungan mereka yang mempunyai hubungan istimewa. Sekali lagi, itu mungkin hanya terbatas kepada aku sahaja. Aku yang masih mencari apakah yang sebenarnya aku mahukan sebagai manusia beku yang acapkali hilang perasaan.

http://farm5.static.flickr.com/4135/4875230470_ed876db54c.jpg
Gambar : Cinta itu sebenarnya tidak buta. Ia hanya membenarkan seseorang melihat sesuatu benda yang orang lain gagal lihat hakikat yang indah. Cuma, janganlah sehingga ia melalaikan serta membutakan kita dari melihat kebenaran. [Kaca mata ini mengingatkan aku kepada seorang teman]

Hubungan istimewa.
Tidak kira ia cinta ataupun sekadar sebuah persahabatan, ia sesuatu yang mustahil akan terjadi begitu sahaja. Ia bahkan mengambil masa, kesabaran, ruang dan manusia yang betul-betul mahu bersama di dalamnya. Yang pastinya, pasti akan berlaku komunikasi dalam sesebuah hubungan kerana tanpa elemen tersebut, ia membenarkan perkongsian pendapat serta menghalang sebarang keraguan ataupun anggapan liar berlaku. Walaupun sedemikian, jika komunikasi berkesan berlaku, kesilapan dalam hubungan kadangkala berlaku apabila hati manusia di dalam hubungan tersebut berubah. Itu sesuatu yang kita sendiri tidak dapat mengawalnya.

Ada sesiapa yang dapat mengawal hati manusia?
Kalau ada, beritahu aku boleh?
Ketawa.

Kita hanya mampu beusaha dan berdoa agar hubungan yang dibina akan menemui kebahagiaan yang dicari. Mungkin setelah gagal beberapa kali, kita akan belajar untuk melepaskan ia pergi dengan hati terbuka dan tidak menyesakkan pemikiran dengan benda lain yang menghalang kita daripada bergerak ke hadapan - meneruskan hidup yang dipersiakan sehingga ada yang terkorban dan dikorbankan. Ia mengingatkan aku kepada seorang teman yang pernah aku hidup bersama pada suatu ketika.

Teman : Kalaulah bahagia itu boleh dibeli pada kali pertama bercinta.
Aku : Kenapa nak beli sedangkan bahagia itu perlu dicari?
Teman : Bahagia itu tidak pernah bersama aku. 
Aku : Jangan cakap begitu.
Teman : Kalaulah cinta itu betul-betul wujud sewaktu aku mula berikan hati.
Aku : Bukankah kau benar-benar dilamun cinta?
Teman : Bahkan aku tidak pernah bersua muka. Aku bercinta hanya dengan gambar serta suara dan kata-kata tanpa melihat wajah penutur bicara.
Aku : Tapi kau bahagia kan?
Teman : Memang. Cuma, kalau dia datang kembali, apakah aku mampu beri peluang lagi?
Aku : Pada siapa? Kau atau dia?
Teman : Pada diri sendiri. Apakah aku mampu berikan ruang pada orang yang melukakan hati aku?
Aku : Mungkin. Terpulang pada kau sendiri.
Teman : Kalaulah dia betul-betul wujud.
Aku : Pastinya dia wujud.
Teman : Aku pernah mahu menangis tatkala peluang pertama musnah begitu sahaja.
Aku : Ah, jangan begitu.
Teman : Pernahkah kau menunggu orang yang kau cinta sehingga lupa rutin biasa?
Aku : Pernah.
Teman : Berapa lama? Ada sampai terpaksa koyakkan kalendar?
Aku : Tidaklah begitu sekali aku rasa.
Teman : Aku pernah dan aku takut kalau dia datang dan muncul kembali, aku tak mampu berlagak sebagaimana biasa.
Aku : Bukankah kau sudah melupakan?
Teman : Kalaulah semudah yang semua orang sangkakan.
Aku : Faham.

Gambar : Kalau ada seseorang dapat menyenaraikan seberapa banyak sebab mengapa mereka mencintai kamu, sebenarnya mereka hanya menyukai kamu, bukan mencintai kamu. Cinta adalah berdasarkan emosi, bukannya definisi.

"Sayangku Shafaza. Kalau kamu semakin hilang diri, aku dan dia mungkin bakal kehilangan matahari kami. Kami tidak pernah melupakan apa yang telah kamu usahakan sehingga kami mampu menjadi suami isteri. Satu sahaja aku pohon dari kau, pulangkan balik matahari kami walaupun sejauh mana kamu lari"

Pesanan yang cukup istimewa itu membuatkan aku senyum dan ketawa hingga mengalirkan air mata. Indahnya hidup sehingga aku tidak punya ruang untuk membencinya. Aneh kerana sejak dua tiga hari ini ada sesuatu yang pernah hilang tiba-tiba kembali muncul semula walaupun keanehannya sudah aku tidak hiraukan dengan sebarang kata-kata tetapi hanya gelak ketawa sendirian cuma.

"Rindu. Rindu nak tengok kamu senyum, rindu nak tengok kamu kepenatan, sibuk dengan kerja, rindu nak tengok kamu tersengih riang setiap kali terpandang wajah-wajah yang memerhatikan kamu. Rindu dengan Zara yang begitu. Tapi tak rindu kena pukul dengan kamu sebab sakit"

Perlukah ada peluang lagi?
Senyum.
Aku sendiri tidak mengerti apakah peluang yang perlu diberikan.



No comments:

Post a Comment

arigatO!