Pengikut setia

Thursday, 23 June 2011

Kikis sikap malu, segan jika mahu lakukan amalan baik

KEMULIAAN serta kualiti manusia bukan dilihat pada fizikal yang cantik atau kekayaan, tetapi iman serta amal salih yang diterjemahkan dalam kehidupan seharian. Menjadi pakej lengkap setiap orang beriman pasti gemar melakukan kebaikan dalam semua perkara. Semakin mantap iman, semakin mudah berbuat baik sekali gus darjatnya semakin tinggi di sisi Allah.

Di sinilah pentingnya kita mantapkan iman dan berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada kepada Allah, diri, masyarakat. haiwan dan alam. Semua yang dilakukan demi meraih kecintaan dan keredaan Allah sebagai kebahagiaan yang hakiki.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahagialah (kerana kebaikan yang amat banyak) bagi orang yang baik kerjanya, baik dan bersih hatinya, mulia pula lahirnya dan jauh manusia daripada kejahatannya. Bahagialah orang beramal dengan ilmunya, membelanjakan (untuk kebaikan) lebihan dari hartanya dan menahan lebihan daripada kata-katanya.” (Hadis riwayat Tabrani)

Ada individu enggan melakukan perkara baik seperti belajar atau mengajar ilmu bermanfaat kepada orang yang memerlukannya kerana malu. Sikap ini sangat mengelirukan, sebab malu hanya layak dalam perkara dilarang agama.

Kita sering berjumpa manusia yang memandang ringan terhadap kebaikan yang sedikit. Mereka keberatan atau enggan melakukannya lalu dicipta pelbagai alasan tidak masuk akal untuk mengelak daripada dilihat sebagai seorang pemalas dan orang yang bersalah.

Sedangkan Islam sangat menekankan perlunya manusia berlumba-lumba berbuat kebaikan. Walaupun hanya bersedekah sebelah daripada sebiji kurma yang dianggap perkara remeh namun sesungguhnya tetap diperhitung Allah sebagai amalan soleh.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Hindarilah seksa neraka meskipun dengan bersedekah sebelah buah kurma. Siapa yang tidak mampu bersedekah separuh buah kurma sekurang-kurangnya dia bertindak dengan menuturkan perkataan yang baik dan bermanfaat.” (Maksud Al-Hadis)

Sekecil apapun perkara kebaikan yang dilakukan tetap dinilai dan diberi pahala oleh Allah dan begitu juga dengan kemungkaran, tidak akan dibiarkan begitu saja, pasti akan menerima balasannya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Siapa yang berbuat baik walau sebesar zarah kebaikan ia pasti melihat ganjarannya. Siapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan pun ia pasti akan melihat akibatnya.” (Surah Al-Zalzalah: 7-8)

Jika ruang hidup yang memang terhad ini tidak diisi dengan amalan baik yang mendatangkan manfaat, bermakna kita sudah melangkah di jalan salah yang terpesong daripada tujuan hidup sebenarnya dan seolah-olah sengaja mencampakkan diri ke dalam golongan orang rugi daripada rahmat-Nya.

Firman Allah bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang beriman dan beramal salih dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan dengan sabar.” (Surah Al-Asr: 1-3)

Jika enggan atau berlengah-lengah maka dikhuatiri nanti kita tidak berkesempatan melakukan amal soleh disebabkan mungkin ditimpa sakit atau meninggal dunia.

Benarlah nasihat Hasan Basri: “Ayuh segeralah, segeralah! Sebab segala sesuatu itu tergantung daripada nyawamu saja, jika ini sudah diputuskan, terputuslah pula segala amalmu. Jika demikian, amalan mana lagi yang akan kau pergunakan untuk ‘bertaqarrub’ (mendekatkan diri) kepada Allah.”

Kita perlu sentiasa nyalakan semangat dan azam berlumba-lumba melakukan kebaikan selari suruhan agama supaya terhindar daripada segala kemungkaran.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya mereka adalah orang yang selalu berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan selalu berdoa kepada Kami dengan penuh harapan serta gerun takut; dan mereka sentiasa khusyuk kepada Kami.” (Surah Al-Anbia: 90)

Demi untuk menjadi insan mulia dan dikasihi Allah, kita perlu segera melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran. Sesungguhnya Allah selalu bersama orang yang bertakwa dan selalu menambah amalan salih.
http://www.celapakit.net

No comments:

Post a Comment

arigatO!