Pengikut setia

Friday 20 May 2011

Kebencian adalah satu pengubat

Dalam keadaan jalanraya yang sesak, mendengar radio mungkin menjadi satu sumber yang dapat menghilangkan kebosanan memandu.  Kebetulan sekali, lagu yang diputar oleh sebuah stesen retro cukup kena dengan apa yang ingin saya kongsikan hari ini.  Lagu lama dendangan Diana Nasution satu ketika dahulu cukup menjadi wadah untuk mereka yang sedang bercinta untuk saling merindui.  Kata Diana dalam lagunya “sakitnya hati ini namun aku rindu… bencinya hati ini tapi aku rindu.”


Kita hidup sebagai manusia pastinya tidak akan lari dari mempunyai perasaan benci.  Benci bukan semestinya kepada insan sahaja tetapi boleh jadi kepada perkara-perkara yang kita rasakan cukup membebankan.  Kita boleh jadi benci dengan kerja yang sedang kita lakukan namun kita masih melakukannya atas dasar keterpaksaan.  Saya menerima satu pesanan ringkas untuk tazkirah yang berbunyi ::“boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah : 216)


Kita seringkali melihat kebencian itu dari sudut negatif tanpa kita menyedari bahawa kebencian juga dapat membawa kita ke satu sudut yang cukup positif asalkan kita tahu caranya.  Kebencian menjadi perkara yang menjelekkan kerana kita yang menciptanya sebagai menjelekkan.  Secara jujurnya saya melihat kebencian juga merupakan penawar kepada jiwa seandainya kita tahu mengolahkannya.  Katakan kita membenci seseorang hinggakan kita tidak mampu mendengar namanya.  Apabila disebut sahaja namanya maka terbitlah rasa benci yang amat sangat hingga kita menjadi begitu beremosi.  Jika kita terus menerus melayan kebencian sepertimana ianya mahu dilayan maka pastilah ianya akan membawa kepada kerosakan. 
Sedangkan kebencian itu datang sebagai satu wadah pemberitahuan bagaimana ianya harus diperlakukan agar nilai kebencian itu menjadi satu nilai kecintaan.

Apabila kita membenci seseorang itu tanpa sedar sebenarnya Allah swt sedang melatih kita untuk mendalami rasa yang perlu kita singkirkan dalam hidup agar kita mampu hidup sesame insan dengan penuh kasih dan sayang.  Kita acapkali membenci seseorang itu kerana dirinya.  Kita jarang sekali membenci seseorang itu kerana Allah swt.  Nah… mungkin ada yang bertanya bagaimana mungkin kita membencinya kerana Allah swt.  Ianya adalah dengan membenci sikap yang dipanuti dan bukan diri seseorang itu.  Kita benci sikapnya dan dek kerana benci sikapnya itu maka kita terus berdoa kepada Allah swt agar dia diberikan pencerahan dan hidayah.  Kita tak putus-putus mendoakan perubahannya.  Manakala kebencian itu tidak langsung dimanifestasikan dengan perbuatan mahupun kata-kata yang kurang enak.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ad-Dailami yang mafhumnya barangsiapa mengutamakan kecintaan Allah atas kecintaan manusia maka Allah akan melindunginya dari beban gangguan manusia.  Ini cukup jelas menunujukkan bahawa yang perlu dalam kehidupan kita adalah kecintaan.  Pada satu sudut pula, kita tidak akan mengenal rasa cinta yang benar tanpa mengetahui apa ertinya benci.  Maka fahamilah bahawa apabila kita ada rasa benci maka ianya juga adalah penawar cinta yang bakal datang… cinta yang lebih dalam… cinta yang lebih kita fahami keberadaannya.

Cinta yang dalam terhasil dari putik cinta yang kecil dan kemudiannya dikembangkan hingga apabila sudah menjadi tahap matangnya, ianya lebih indah dari apa yang disangkakan.  Buktinya mudah, ramai juga diantara kita yang apabila datang kebencian terhadap sesuatu perkara lalu dia terus mengingati Allah swt.  Solat yang dahulunya terabai kita terjaga.  Doa yang dahulunya ala kadar kita penuh perasaan.  Maka dia sebenarnya sedang dijaga oleh Allah swt dari bebanan seandainya dia melepaskan semuanya kembali kepada Allah swt tanpa sedikit pun keluhan.  Jika dia benar-benar faham maka dia akan lebih banyak berterima kasih kepada rasa benci itu kerana sudah berjaya menukarkannya menjadi insan yang lebih bergantung kepada Allah swt.

Al Hakim meriwayatkan sebuah hadis yang berbunyi “Siapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah hendaklah dia mengamati bagaimana kedudukan Allah dalam dirinya. Sesungguhnya Allah menempatkan hambaNya dalam kedudukan sebagaimana dia menempatkan kedudukan Allah pada dirinya.”  Seandainya kita sentiasa bersama Allah swt dan hati ini tidak lari dari benar-benar mencintaiNya semata maka Allah swt pastinya akan menyayangi kita.  Apabila kita bersandar kepadaNya maka jangan pula kita meminta supaya ada balasan kepada mereka yang kita benci kerana balasan itu ada lambang ketidakikhlasan kita dengan Allah swt.  Janganlah kita berkata nista dan menyumpah seranah sedang kita sebenarnya sedang disayangi Allah swt.  Kita hanya perlu duduk bersamaNya dan menerima pemberian rasa itu dengan kenikmatan kerana dalam kebencian itu ada banyak penawar bagi mereka yang berani mengupasnya dari sudut yang lain.

Layanlah kebencian itu dengan Allah swt kerana kebencian itu akan akan mengikut kita mencintai Allah swt.  Hindarilah diri kita dari mengikut kebencian kerana jalan akhirnya adalah kemusnahan.  Kebencian itu datang kepada kita supaya kita mendidiknya pulang kepada Allah swt dan ia tidak pernah datang mengharapkan kita mengikutinya.  Semoga Allah swt merahmati kita dalam menjalani litar kehidupan ini.  Amiin.

No comments:

Post a Comment

arigatO!