Pengikut setia

Thursday 19 May 2011

Melawat Kubur Tok Selehor



                                             Tok Guru Selehor
Bumi yang penuh barakah ini telah menjadi saksi akan kelahiran Tok Selehor, seorang ulama' yang telah memasyhurkan Kampung Selehor di mata masyarakat umumnya. Beliaulah ulama semasa dengan Tok Kenali bahkan dikenali sebagai ulama' lima serangkai yang paling masyhur di kalangan rakyat Kelantan.

Nama penuhnya ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik.  Dilahirkan di Kampung Lubuk Jong, ( di kawasan pondok Selehor ) di pinggir Sungai Selehor oleh ibunya Mek Wi binti Muhammad Amin pada tahun 1871.

Beliau yang merupakan kawan baik Tok kenali, dikatakan pernah sama-sama berdiskusi dalam usaha mengembangkan Islam. Tok Selehor mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, tetapi yang sangat diminatinya ialah bidang tasawwuf. Bukan itu sahaja, Tok Selehor juga suka memburu rusa dan memukat ikan. Istimewanya ikan-ikan yang diperolehi itu dibahagikan kepada penduduk di sekitar pondoknya dan kepada anak-anak pondoknya.

Ketika berusia 64 tahun, maka genaplah hayatnya di dunia. Pada malam Khamis 18 Zulkaedah 1353, bersamaan 20 Februari 1935 jam 8.30 malam beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.


Hasil perbualan dengan penggali kubur, banyak juga cerita-cerita yang cukup menarik untuk dikongsi bersama tentang kemuliaan yang diberikan oleh Allah kepada seorang ulama'. Mengikut kata abang Mat, Tok Selehor diberi kelebihan oleh Allah untuk berkomunikasi dengan buaya. Dikhabarkan Sungai Selehor sebenarnya ada buaya, tetapi masyarakat sekitarnya dapat menggunakan sungai tersebut tanpa sebarang gangguan mahupun rasa takut. Mungkin ianya hasil berkat doa Tok Guru Selehor. Bagi saya, ianya bukanlah sesuatu yang pelik bagi seorang ulama'.

Juga, beberapa hari sebelum kematian Tok Selehor, diceritakan bahawa telah berlaku beberapa kejadian pelik. Seekor ikan yu besar yang belum pernah dilihat oleh penduduk Kampung Selehor muncul dan timbul di pengkalan tempat mandi Tok Guru Selehor. Selepas beberapa hari ikan itu berada di Sungai Selehor, kemudian ia keluar semula ke laut.Selang dua hari kemudian, datang kumpulan burung gagak dengan ramainya sehingga orang ramai hairan melihat peristiwa itu kerana tidak mengetahui apakah maksudnya. Beberapa hari selepas itu Tok Selehor ditimpa sakit kepala. Walaupun diubati, tidak juga sembuh. Selepas lapan hari, Tok Selehor pun meninggal dunia. Mungkin peristiwa tersebut adalah tanda-tanda sebelum pemergiannya. Allahua'lam

Selain daripada itu, Tok Selehor juga hebat dalam mendendangkan syair dan mengarang syair. Diceritakan bahawa lantunan syair Tok Guru Selehor
telah mendamaikan ramai suami isteri yang bergaduh. Beliau juga begitu gemar kepada perkara-perkara yang cantik seperti kuda, biri-biri jantan, dan ayam jantan laklung (berkokok dengan suara yang merdu dan panjang).

  
              Tanah Perkuburan Kg. Selehor. Di sinilah terletaknya Suluk
 
Banyak lagi sebenarnya cerita-cerita yang mengkagumkan mengenai Tok Selehor, tapi tak semua dapat dirakam di sini. Dalam banyak-banyak amalan yang diamalkan oleh Tok Selehor, salah satu yang saya rasakan terlalu unik dan saya memiliki keinginan yang kuat untuk mencubanya ialah bersuluk (berkhalwat/bersendirian).

Beliau bimbang hatinya menjadi angkuh kerana terlalu dipuja dan takut menjadi riak. Oleh itu beliau mengadakan suatu lubang khas di atas Kubur Selehor sebagai tempat sembahyang dan juga tempat berkhalwat (bersendirian). Lubang yang dikenali sebagai Suluk ini masih kekal hingga ke hari ini. Tujuan dibuat lubang di dalam tanah itu supaya hati menjadi kecut dan sentiasa ingat kepada mati. 


Pintu menuju ke tempat suluk Tok Selehor




Tempat suluk Tok Selehor

Anak tangga menuju ke tempat suluk
"Inilah sebenarnya suatu langkah untuk benar-benar insaf dan mendekatkan diri kepada mati iaitu dengan berkhalwat di dalam lubang terutamanya di atas kubur, kerana di sana akan dirasai bagaimana hidup seorang diri di dalam tanah itu dan akan lahirlah perasaan ingin membuat bekal untuk menghadapi mati supaya tidak menyesal kemudian."

Bila teringatkan setiap kata nasihat mengenai mati. Air mata saya hampir pasti mengalir. Ia bagaikan suatu refleksi yang cukup berkesan bagi diri saya yang lalai. Namun, hidup mesti diteruskan. Yang hidup pasti mati. Yang masih hidup, mesti mengisi kehidupan dengan pengisian untuk dijadikan 'saham' selepas mati.

Teringat buku Covey yang bertajuk, 7 Habits of Most Highly Effective People, ada menyebut tentang 7 tabiat orang-orang yang efektif samada pada diri dia sendiri mahupun untuk orang lain.

Bermula dengan personal victory, salah satu tabiat yang perlu dimiliki oleh orang yang ingin memiliki personal victory ialah begin with the end of mind (bermatlamat jelas). Ia jelas berhubung kait dengan kehidupan kita.

Apa yang pasti, Allah telah mendidik kita dengan didikan yang cukup berkesan. Allah lebih terdahulu dari segala makhluk sekelian alam menekankan soal begin from the end of mind. KataNya ;

"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati."

Dan bila Allah menceritakan soal mati, ia tidak terhenti di situ sahaja. Allah meneruskan ceritanya tetang mati iaitu kehidupan selepas mati. Sambungan ayat tadi :

"Dan apabila tiba hari perhitungan di hari kiamat, barangsiapa yang terselamat dari seksa api Neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga, maka bahagialah mereka (di dalam Syurga)"

Kemudian Allah mengingatkan kita dengan sambungan dari ayat tadi :

"Dan tidak ada pada kehidupan dunia kecuali main-main dan tipu daya"

Jelas daripada ayat di atas, hidup kita adalah menuju pada end of mind yang cukup jelas iaitu "mati + syurga". Dan untuk ke situ, peluang persiapan kita ialah setiap saat hidup di dunia sebelum menghembuskan nafas yang terakhir.

Nabi Muhammad di dalam hadisnya yang sahih menggalakkan kita menziarahi kubur. Tetapi bukan sepertimana adat kita orang Melayu. Nabi menggalakkan kita menziarahi kubur di waktu malam kerana di saat itu tiada gangguan lain kecuali dorongan untuk kita berasa insaf di atas segala tingkah laku kehidupan.Marilah kita sama-sama rajin untuk menziarahi makam para ulama.Semoga hidup kita diberkati Allah.

Bila teringatkan mati, saya terus terduduk mengenangkan dosa-dosa yang lalu. Astaghfirullah, saya banyak berdosa padaMu Ya Allah. Ya Allah ampunilah segala dosa hamba-hambaMu. Saya hanya manusia biasa, tak berdaya untuk melawan takdirMu....Moga ada sinar di hari muka....

No comments:

Post a Comment

arigatO!